TANJUNG MALIM – Tapak bersejarah Plaza Tol Lama Slim River, di sini, berwajah baharu melalui pembukaan Medan Agrobazaar dengan menampilkan konsep jualan terus dari usahawan kepada pengguna akhir.
Dikenali sebagai Medan Agrobazaar Tol Lama Slim River, ia dibangunkan di di tapak asal Tol Slim River yang pernah beroperasi dari 1966 sebelum dimansuhkan pada 1994.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli berkata, Medan Agrobazaar ini dibangunkan dengan kedudukannya yang strategik di laluan utama Slim River.
Beliau berkata, lokasi ini juga dipilih sebagai pusat niaga agro berkonsep moden, bersih dan selesa bagi memacu aktiviti ekonomi komuniti luar bandar.
“Medan Agrobazaar Slim River telah mula beroperasi sejak Februari 2025 dan menempatkan empat orang usahawan tempatan yang menggerakkan aktiviti jualan harian.
“Sehingga Julai 2025, nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh medan ini mencecah RM25,700,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Medan Agrobazaar Slim River di Medan Agrobazaar Slim River.
Menurut Aminuddin, Medan Agrobazaar Slim River juga merupakan satu pencapaian yang membuktikan keupayaan lokasi ini sebagai pemacu ekonomi baharu kepada komuniti setempat apabila diberikan sokongan fasiliti dan pendedahan pasaran yang betul.
“Medan ini juga merupakan salah satu lokasi pelaksanaan Program Santuni Madani, iaitu satu kaedah meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.
“la selari dengan semangat Agro Madani yang mementingkan keterjaminan pasaran, kestabilan harga dan keterlibatan rakyat secara inklusif dalam sektor makanan dan pertanian,” katanya.
Antara produk utama yang ditawarkan di medan ini termasuk buah-buahan dan air buah segar, kelapa muda, serta pelbagai produk industri makanan asas tani (IMAT) yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.
Medan ini turut menjadi lokasi tetap jualan bagi produk rebung yang telah dijenamakan sebagai Rebung Madani, iaitu rebung segar yang dikutip oleh komuniti kampung dan Orang Asli di sekitar Slim River. -MG Perak