Media jadi saluran lontar pandangan kritis, idea bernas – Saarani

IPOH – Media menjadi saluran untuk melontarkan pandangan kritis dan idea bernas supaya penambahbaikan dapat diterapkan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan yang baik sentiasa terbuka kepada segala pandangan dan teguran yang membina.

“Ada kalanya saya dipuji, ada kalanya saya dikritik. Namun, bagi saya itulah asam garam yang dilalui orang politik.

“Sama ada laporan yang keluar selepas itu berupa pujian, kritikan atau teguran, ia sentiasa menjadi pedoman untuk saya menjadi seorang pemimpin yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak yang diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, malam tadi.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Media jadi saluran lontar pandangan kritis, idea bernas - Saarani
Wartawan MG Perak, Amirrul Rabbani Rashid turut membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 FEBRUARI 2024.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, media menjadi medium terbaik dalam menerima maklum balas rakyat sekaligus membantu kerajaan negeri dalam menilai dan meningkatkan pelaksanaan dasar dan program yang telah dirancang.

“Saya sentiasa menghormati dan menghargai peranan penting media sebagai perantara antara kerajaan dan rakyat.

“Bagi saya media bukan sekadar rakan strategik, malah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan prinsip check and balance itu sentiasa wujud dalam perjalanan serta tatakelola pentadbiran kerajaan,” jelasnya.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Media bagi enam kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Sukan Terbaik, Anugerah Audio Visual Terbaik dan Foto Terbaik.

MG Perak yang baru beroperasi pada Oktober tahun lalu berjaya membawa pulang enam anugerah menerusi Anugerah Berita Ekonomi Terbaik, Anugerah Visual Terbaik dan Anugerah Gambar Terbaik (Menteri Besar Bersama Masyarakat) dan Anugerah Berita Terbaik.

Di samping itu, rakan media yang sudah bersara turut diraikan pada majlis tersebut iaitu bekas jurugambar Utusan Malaysia, Zulkarnain Mohd Saidin; Lam Koon Yeu (jurukamera TV3) dan P Chandra Sagaran (wartawan The Sun). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MG Perak rangkul enam kemenangan Anugerah Media Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI