Media perlu main peranan tidak sensasikan isu 3R – Kor Ming

IPOH – Media perlu memainkan peranan untuk tidak mensensasikan laporan berita berkaitan perkara 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty) bagi menjaga keharmonian negara.

Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, meskipun cuba meraih perhatian pembaca, jika ia dilaporkan secara berlebihan hanya akan membawa kerugian kepada masyarakat berbilang kaum serta merencatkan usaha kerajaan membina semula Malaysia.

“Persepsi rakyat sebenarnya banyak terpengaruh dalam tangan saudara saudari sekalian (media). Jadi marilah kita beristiqamah untuk lenyapkan isu-isu 3R yang merugikan negara.

“Isu 3R apabila dimainkan hanya menguntungkan segelintir parasit dan ulat politik yang bertuankan nafsu dan kuasa, tetapi akhir yang menanggung kerugian adalah rakyat sendiri tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP bersama Media Perak di Warung Theater @ Cathay di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, sebagai tonggak demokrasi keempat selepas legislatif, eksekutif dan judisiari media memainkan peranan sangat penting sebagai semak dan imbang dalam pembangunan negara.

Ujar beliau, tempoh tiga tahun bermula 2024 hingga 2026 merupakan tahun kritikal bagi Malaysia untuk bangkit sebagai sebuah negara disegani antaranya menerusi usaha meningkatkan kedudukan fiskal negara yang memfokuskan sistem saraan baru penjawat awam, pencen dan subsidi bersasar.

Kata Kor Ming lagi, kita bakal menyaksikan Malaysia mengambil alih tugas daripada Laos sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan disusuli Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Ini adalah peluang keemasan kita mengembalikan Malaysia sebagai negara dihormati oleh warga dunia, dan kerana ketiga-tiga tahun ini membawa makna amat signifikan, kerajaan memerlukan kerjasama semua warga media dalam membentuk persepsi masyarakat.

“Tidak kira aliran media dalam talian (online) atau konvensional, kita perlu sama-sama memainkan peranan pastikan Malaysia bangkit semula,” katanya.

Dalam majlis itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM20,000 diberikan kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi pelaksanaan aktiviti. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Media jadi saluran lontar pandangan kritis, idea bernas – Saarani

Nota ugutan ‘Jangan Cabar Islam’ di hadapan rumah ibu Kor Ming

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI