IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik dan profesional bersama pengamal media sebagai rakan penting dalam pembangunan dan pengurusan bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata,hubungan antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan maklumat berkaitan isu-isu bandar raya dapat disampaikan dengan tepat dan berhemah kepada masyarakat.

Katanya, perkongsian maklumat daripada sumber yang sahih amat penting untuk menangkis dakwaan yang kurang tepat, dan pada masa yang sama memperbaiki kelemahan jika sesuatu isu itu didapati benar.
“Pihak MBI juga berharap agar media dapat membantu memaklumkan kepada masyarakat mengenai tindakan susulan dan penambahbaikan yang dilaksanakan, supaya warga kota memperoleh gambaran yang adil dan menyeluruh.
“Begitu juga, publisiti terhadap program-program MBI melalui rakan-rakan media amatlah diharapkan agar penyertaan dan respons daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat dipertingkatkan,” katanya.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah menyempurnakan gimik perasmian majlis Malam Media Majlis Bandaraya Ipoh 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh. Foto Ihsan MBI
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Majlis Bandaraya Ipoh 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak; Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Wong Kar Keat, serta Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah menyampaikan anugerah pakaian terbaik kepada Editor Malaysia Gazette (MG) Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said pada majlis Malam Media Majlis Bandaraya Ipoh 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh. Foto Ihsan MBI
Pada majlis turut berlangsung pelancaran laman sesawang dan aplikasi mudah alih ‘Radio TV Bandar Raya Ipoh atau RTBI’ yang mana dijenamakan semula daripada saluran media MBI iaitu ‘Radio MBI’ dan ‘TV Online MBI’.
Mengulas lanjut Zamakhshari berkata, dalam konteks kebebasan bersuara prinsip tersebut perlu diimbangi dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab agar laporan yang disiarkan tidak menimbulkan salah faham atau ketegangan.

“Laporan yang seimbang, tepat dan berasaskan fakta adalah lebih wajar supaya masyarakat mendapat gambaran sebenar, dan tidak mudah dikelirukan oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan sesuatu isu,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, MBI merancang untuk menganjurkan lebih banyak program melibatkan media pada tahun hadapan, antaranya Majlis Minum Petang bersama Ketua Biro Media, Perlawanan Bowling Persahabatan, Lawatan Media serta Malam Media MBI 2026, bagi memperkukuh jaringan kerjasama yang lebih berkesan.


Penyanyi terkenal tanah air, Rahmad Mega, turut menyampaikan nyanyian pada majlis Malam Media Majlis Bandaraya Ipoh 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh. Foto Ihsan MBI.
“Penganjuran malam media bukan sekadar acara penghargaan kepada rakan-rakan media, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama dua hala antara pihak berkuasa tempatan dan pengamal media demi kepentingan warga kota secara menyeluruh.
“Malam Media MBI 2025 dapat menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat antara MBI dan pengamal media, seterusnya menyumbang ke arah pembangunan Bandar Raya Ipoh yang sejahtera, berdaya huni dan berdaya saing,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


