IPOH – Dalam mensyukuri kemeriahan Syawal yang sedang dirai, rakyat di negeri ini diingatkan untuk menghargai dan menginsafi nikmat keamanan yang sedang dikecapi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebelakangan ini masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Katanya, sekiranya situasi itu tidak ditangani dengan hikmah, ia dikhuatiri boleh mengguris perasaan, meretakkan hubungan serta menghakis kepercayaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang telah lama bina di negara ini.
“Paling meresahkan, ada ketika perbezaan pandangan tidak lagi diraikan dengan kebijaksanaan, sebaliknya ditanggapi dengan emosi dan dilontarkan tanpa pertimbangan.
“Saban hari, media sosial yang sepatutnya menjadi wadah menyebarkan kebaikan dan menyuburkan persefahaman, disalahgunakan.
“Ia menjadi gelanggang perselisihan, tempat mengeji dan mencaci sesama sendiri, sehinggakan sensitiviti kaum dan agama disentuh tanpa adab dan budi pekerti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis yang dihadiri 20,000 orang tetamu itu.
Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Justeru itu Saarani berkata, bersempena dengan perayaan 1 Syawal, masyarakat diminta untuk sama-sama membetulkan segala salah tanggapan antara satu sama lain, memperbaiki niat dan menundukkan keangkuhan.
Katanya, rakyat harus kembali menjadi pihak yang memilih untuk memahami dan mendamaikan sesama sendiri, dan bukan menjadi pihak yang bermusuh serta berpecah belah.
“Dengan semangat Syawal yang membawa kemaafan dan keinsafan, kita dapat terus menyuburkan nilai-nilai persefahaman.
“Agar kita dapat sama-sama membina negeri dan negara ini, dengan semangat kekitaan dan hormat menghormati, yang menjadi asas kekuatan kita selama ini.
“Dalam dunia yang penuh perbezaan, pilihan kita bukan sekadar untuk bersuara, tetapi untuk menentukan sama ada kata-kata itu menyatukan atau memisahkan,” ujarnya.
Pada masa sama Saarani turut mengingatkan rakyat di negeri ini agar turut menginsafi konflik dan peperangan yang berlaku di luar negara sehingga mengakibatkan rakyatnya menyambut lebaran dalam ketakutan.
Kata beliau, dalam mensyukuri kemeriahan Syawal pada tahun ini, masyarakat diminta untuk menghargai akan nikmat keamanan yang sedang kita kecapi di negara ini.
“Kita di sini merayakan Syawal dengan dentuman bunga api yang memecah kesunyian langit malam.
“Namun di tempat lain, ada yang meraikan Aidilfitri dalam dentuman bom, dan Syawal mereka acapkali diakhiri dengan berita kematian.
“Di saat kita bersalaman dengan penuh kemaafan, mereka menggenggam tangan dalam getar ketakutan. Di saat kita berkumpul dalam kebersamaan, mereka beraya dalam tangisan dan kehilangan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Persiapan awal, perbelanjaan berhemah jadi pendekatan sambut Aidilfitri


