IPOH – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan meliwat anak tiri lelakinya yang juga penghidap sindrom down, awal Disember.
Lelaki berusia 40 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Universiti dalam daerah Perak Tengah sekitar jam 7 malam, 2 Disember 2025.
Berikutan itu, pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nor Arfahanim tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa masih kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan bukan dalam kalangan ahli keluarga disebabkan mangsa adalah anak tiri kepada tertuduh.
Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya jumlah jaminan minimum memandangkan pendapatannya sebagai mekanik hanya RM1,800 sebulan manakala pendapatan isterinya sebagai peniaga bundle sekitar RM500 sebulan.
Selain itu, dia juga memaklumkan perlu menyara dua anak termasuk mangsa.
Jean Sharmila kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelajar mengaku salah lakukan amang seksual, seks luar tabii


