Memperingati tragedi tsunami, 700 pokok bakau ditanam

MANJUNG – Sebanyak 700 pokok bakau berjaya ditanam pada program Penanaman Pokok Bakau Sempena Memperingati 20 Tahun Tragedi Tsunami di Hutan Bakau, Changkat Keruing, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) berkata, program itu disertai 100 peserta, termasuk aktivis alam sekitar, komuniti setempat, wakil syarikat swasta dan sukarelawan.

Katanya, tragedi yang melanda hampir seluruh negara Asia Tenggara dua dekad lalu itu menyedarkan masyarakat bahawa kawasan yang dilitupi hutan bakau mengalami impak yang lebih rendah akibat tsunami.

Pokok bakau Penanaman Pokok Bakau tsunami peserta KUASA komuniti hutan
Sekitar program Penanaman Pokok Bakau Sempena Memperingati 20 Tahun Tragedi Tsunami di Hutan Bakau, Changkat Keruing di Manjung. Foto KUASA

“Ini kerana hutan bakau berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pesisiran pantai daripada ancaman ombak besar.

“Oleh itu, penanaman pokok bakau mampu menjadi medium bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ekosistem bakau dalam menghadapi bencana alam.

“Hutan bakau memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim, menjadi habitat kepada pelbagai spesies makanan laut, serta memastikan keselamatan ekonomi dan ekologi komuniti pesisir,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Pokok bakau Penanaman Pokok Bakau tsunami peserta KUASA komuniti hutan
Sekitar program Penanaman Pokok Bakau Sempena Memperingati 20 Tahun Tragedi Tsunami di Hutan Bakau, Changkat Keruing di Manjung. Foto KUASA

Program yang dianjurkan KUASA dengan kerjasama Komuniti Kampung Changkat Keruing itu turut mendapat sokongan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Royal Institute of Surveyors Malaysia (RISM), Syarikat Lagenda Properties, serta Pantai Hospital Manjung.

Menurut kenyataan sama lagi, pihak penganjur bersama komuniti telah memulakan inisiatif penanaman tumbuhan itu semenjak tiga tahun yang lalu dengan lebih 5,000 pokok bakau telah berjaya ditanam.

Tambah KUASA, sebelum aktiviti penanaman dimulakan, para peserta terlebih dahulu diberikan taklimat termasuk berkaitan kaedah menanam pokok bakau.

Jelasnya, ia penting dalam memastikan pokok yang ditanam dapat berdiri teguh dan terlindung daripada ancaman seperti arus air atau angin kencang.

Katanya lagi, walaupun berdepan dengan keadaan berlumpur, para peserta tetap berjaya menunjukkan komitmen masing-masing terhadap usaha pemulihan hutan berkenaan.

Pokok bakau Penanaman Pokok Bakau tsunami peserta KUASA komuniti hutan
Sekitar program Penanaman Pokok Bakau Sempena Memperingati 20 Tahun Tragedi Tsunami di Hutan Bakau, Changkat Keruing di Manjung. Foto KUASA

“Program penanaman pokok bakau ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap pemulihan alam sekitar, tetapi juga berjaya membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan melindungi ekosistem yang kian terancam ini.

“Semoga usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan, dan diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk berganding bahu dalam memastikan kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang,” ujarnya.

Pada 26 Disember 2004, dunia dikejutkan dengan bencana tsunami yang meragut ratusan ribu nyawa.

Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di hujung barat Indonesia menghasilkan beberapa siri ombak setinggi 30 meter dan melanda 14 pantai di Indonesia sehingga ke Somalia. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PSAS pupuk kesedaran pelajar lindungi alam sekitar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI