BANGUNAN lama serta tugu bersejarah yang menjadi mercu tanda di bandar raya Ipoh masih kekal utuh dan terpelihara dengan baik sehingga kini.
Salah satu daripada mercu tanda tersebut adalah Menara Jam Peringatan Birch atau Tugu Peringatan Birch yang terletak berhadapan dengan Masjid Negeri Perak iaitu Masjid Sultan Idris Shah II.
S Sundralingam, 68, yang juga pengasas Ipoh Heritage Walk Sundra berkata, minat mendalamnya terhadap sejarah membuatkan dia ‘tergerak hati‘ untuk berkongsi mercu tanda itu dengan membawa pelancong dalam dan luar negara meneroka jejak warisan di sekitar Ipoh.
Menurutnya, salah satu lokasi yang akan dilawati sepanjang tiga kilometer perjalanan jejak warisan di sekeliling Pekan Lama Ipoh itu adalah adalah menara jam tersebut.
“Saya sudah buat perkara ini (pemandu pelancong warisan) hampir 20 tahun kerana Ipoh mempunyai banyak bangunan warisan yang kebanyakkan berkaitan dengan sejarah British.
“Jadi saya rasa tempat ini (Ipoh) kaya dengan bangunan bersejarah yang patut dikongsikan kepada orang yang ingin mengetahui.
“Menara Jam Peringatan Birch adalah satu lokasi yang turut disenaraikan dalam perjalanan jejak warisan ini,“ kata pesara guru Bahasa Inggeris itu.
Katanya, menara jam itu dibina pada tahun 1909 bagi memperingati ulang tahun kematian Residen British Perak, JWW Birch yang telah dibunuh Lela Pandak Lam atau lebih dikenali sebagai Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak pada tahun 1875.
Tambahnya, mercu tanda yang dibina dengan kos 25,000 straits dollar bersamaan RM1.4 juta pada masa kini adalah hasil idea anak kepada JWW Birch iaitu Sir Ernest Woodford Birch yang juga Residen British Perak kelapan pada ketika itu.
“Kalau kita lihat secara dekat, menara ini mempunyai struktur yang mempunyai ciri-ciri dari negara Itali dan dikelilingi dengan empat tiang berbentuk piramid.
“Di ruang di atas ada bahagian yang dipanggil freeze di keempat-empat sisi jam berkenaan yang menempatkan 44 figura terkenal yang menggambarkan ikon pembangunan tamadun terkenal di seluruh dunia.
“Kemudian, ada menara jam yang bentuknya kelihatan seperti eyebrow (kening) dan bunyi loceng jam ini bunyinya seakan-akan menara jam Big Ben salah satu lokasi pelancongan terkenal di London, England.
“Pada bahagian empat penjuru di atas jam berkenaan terdapat empat patung terakota yang menggambarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu kesetiaan, keadilan, kesabaran dan ketabahan,“ ujarnya.
Sundralingam berkata, bagi mengekalkan struktur menara jam itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan kerja-kerja penyelengaraan mengikut masa yang ditetapkan.
Tambahnya, jam tersebut akan diselenggara secara berkala setiap bulan kerana menggunakan sistem mekanikal dan perlu dikunci setiap lima hari sekali bagi memastikan ia terus berfungsi.
“MBI selalu datang menjaga bangunan ini dan ‘menghidupkan‘ kembali jam ini. Bila tempohnya sudah tamat, jam itu tidak akan berfungsi.
“Mereka (MBI) ada pegawai-pegawai khas ataupun daripada tempat yang mereka telah aturkan untuk mengunci jam tersebut. Sebab itu kita boleh dengar bunyi macam jam ini macam Big Ben,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: