IPOH – Kira-kira 40,000 pengunjung dari dalam dan luar Negeri Perak memeriahkan program ‘Merdeka X Hingofest 2024’ di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, dekat sini.
Program anjuran agensi penggerak pelancongan Negeri Perak, Tourism Perak itu telah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pelancongan Tourism Perak, Suhazliza Yahaya berkata, pelbagai aktiviti, pertandingan dan persembahan telah diadakan sepanjang program berlangsung.
“Sepanjang tiga hari penganjuran Merdeka X Hingofest 2024 ini, ia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.
“Pada hari pertama diadakan Sambutan Ambang Kemerdekaan peringat negeri yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang mana ia dihadiri hampir 30,00 orang.
“Malah, pada hari kedua ada dianjurkan Bicara Santai Bersama Ustaz Haslin Baharim atau Ustaz Bollywood, dan dihadiri 7,000 orang. Untuk hari terakhir, memang kita menjangkakann kehadiran lebih ramai pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MG Perak pada Merdeka X Hingofest 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, pada Ahad.
Suhazliza yang juga pengarah program memberitahu, selain daripada acara berkenaan, antara acara lain juga turut mendapat perhatian adalah larian Visit Perak 2024 Fun Run 2.0 yang mana ia disertai 650 peserta dari seluruh negeri.
Kata beliau, di samping itu Pertandingan Busana Anak-anak Merdeka dan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik juga menerima penyertaan yang menggalakkan.
Tambah Suhazliza, Merdeka X Hingofest 2024 juga dijangka merekodkan nilai jualan hampir RM200,000 yang mana ia memberi manfaat kepada 70 peniaga tempatan.
“Memang acara Sambutan Ambang Kemerdekaan kita anjurkan setiap tahun, cuma kali ini kita anjurkan sekali dalam skala besar melibatkan penganjuran Hingofest 2024.
“Matlamat program ini dianjurkan sebagai merancakkan lagi kempen pelancongan kerajaan negeri iaitu Tahun Melawat Perak 2024,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Tiada erti merdeka jika pemikiran terbelenggu adu domba’ – Saarani