Merealisasi tanggungjawab keterjaminan makanan dan penyediaan makanan halal

Menurut definisi oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), keterjaminan makanan (food security) adalah kebolehan fizikal dan ekonomi dalam mengakses terhadap makanan yang mencukupi, selamat, dan berkhasiat yang memenuhi keperluan pemakanan serta pilihan makanan bagi mencapai kehidupan yang aktif dan sihat.

Walaupun kemajuan telah dicapai, kelaparan global masih berterusan, dengan berjuta-juta individu tidak mempunyai akses yang konsisten kepada makanan berkhasiat dan selamat.

Konsep halal, berdasarkan penekanan pada kebersihan, sumber yang beretika, dan jaminan kualiti, ia menawarkan jalan untuk menangani cabaran ini dengan mempromosikan sistem yang melindungi integriti dan keterjaminan makanan melalui ekosistem halal yang kukuh dan matang.

Oleh itu, industri halal memainkan peranan penting dalam bukan sahaja memenuhi tuntutan agama dan sumbangan ekonomi negara, malahan membantu dalam usaha global untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SDG 2 menyasarkan sifar kelaparan, mencapai keterjaminan makanan dan menambahbaikan nutrisi makanan, dan menggalakkan melestarikan pertanian pada tahun 2030, menjadikan keterjaminan makanan sebagai aspek utama yang penting.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, konsep makanan halal yang berlandaskan prinsip Islam tentang kesucian, keutuhan, dan tanggungjawab etika, dianggap sebagai kerangka penting yang selari dengan objektif pembangunan lestari.

Artikel ini mengupas peranan saling berkait antara pengeluar makanan, pengusaha restoran, dan pengguna dalam memupuk ekosistem makanan patuh halal yang menjamin keterjaminan makanan untuk semua.

Walaupun halal bukanlah untuk menangani kelaparan, namun konsep halal itu adalah memenuhi dalam mencapai objektif integriti dan keterjaminan makanan. Halal yang bermaksud ‘dibenarkan’ adalah merujuk kepada ‘makanan yang dibenarkan’ untuk dimakan oleh umat Islam berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Islam adalah teliti dalam segala aspek termasuk makanan untuk menjaga kemaslahatan umatnya dalam memenuhi prinsip Maqasid Shariah bagi memelihara kesejahteraan manusia dalam kehidupan sejagat. Antara langkah untuk mencapai kelestarian melalui konsep halal adalah melalui pematuhan terhadap standard dan garis panduan halal dalam melaksanakan persijilan halal yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Pensijilan halal merangkumi proses ketat dalam menjamin keterjaminan makanan dan amalan beretika, bermula dari ladang hingga ke meja. Prinsip ini secara semula jadi selari dengan matlamat SDG 2 untuk menggalakkan amalan pertanian yang berdaya tahan, mengurangkan pembaziran makanan, dan memastikan akses saksama kepada makanan berkhasiat.

Walaupun pelaksanaan persijilan halal adalah bersifat sukarela, namun ia menuntut sikap tanggungjawab oleh pihak pengeluar makanan dan pengusaha restoran untuk melaksanakan persijilan halal melalui pematuhan prosedur dan garis panduan halal yang ditetapkan oleh pihak JAKIM. Ini kerana pensijilan halal perlu meliputi semua aspek yang bukan sahaja bertepatan dengan kehendak Halalan Toyyiban, malahan seiring dengan matlamat untuk menjamin keterjaminan makanan dan amalan beretika seperti proses, penyediaan, peralatan, dan bahan makanan demi kebaikan terhadap pengguna.

Oleh yang demikian, pihak pengeluar makanan dan pengusaha restoran adalah tonggak utama dalam mencapai ekosistem halal. Pematuhan terhadap standard halal bukan sahaja memenuhi keperluan agama, tetapi juga sejajar dengan seruan global untuk pengeluaran makanan yang beretika dan menjamin keselamatan masyarakat sejagat.

Pengeluar makanan dan pengusaha restoran memainkan peranan yang penting dalam menyokong hasrat kerajaan dan seruan global dalam mencapai kelestarian melalui SDG 2.

Selain daripada mematuhi pelaksanaan persijilan halal, pengusaha makanan juga boleh mengamalkan produk atau menu makanan sihat, dan mengurus sisa makanan dengan lebih cekap dan meletakkan caj tambahan bagi pelanggan yang gagal menghabiskan makanan dengan baik.

Pihak halal autoriti seperti JAKIM juga perlu menyokong pengusaha makanan di mana selain mempercepatkan prosedur mendapatkan sijil halal, dengan ledakan teknologi masa kini, pihak JAKIM juga boleh mengemaskini status halal atau permohonan sijil halal oleh pengusaha makanan dengan memaparkan status halal tersebut menerusi imbasan QR code pada setiap pintu masuk premis makanan tersebut.

Ini dapat membantu pihak pengguna untuk mengetahui status halal restoran terkini dan aras amalan pematuhan halal. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan integriti makanan halal, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan lestari yang menyeluruh oleh pengusaha makanan dan restoran makanan halal.

Selain itu, pengguna juga memainkan peranan penting dalam mendorong permintaan terhadap pilihan makanan halal dan lestari. Dengan mengutamakan produk yang diperakui halal dan menyokong pengeluar yang beretika, mereka juga dapat mempengaruhi trend dan amalan pasaran melalui sikap cakna dalam pembelian dan menyokong pelabelan halal yang telus dan pengeluaran beretika.

Pengguna juga perlu mengurangkan pembaziran makanan melalui tabiat penggunaan yang lebih berhemah.

Dengan merealisasikan tanggungjawab bersama ini, ia dapat memperkukuh ekosistem halal dan menyumbang kepada pembangunan lestari yang menyeluruh.

Oleh,

Juliana Anis Ramli

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, UNITEN Business School Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di juliana@uniten.edu.my

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI