JOHOR BAHRU – Muslim Friendly Watch (MFW) dibubarkan dan semua operasi berkaitan pertubuhan dan sistem yang bernaung di bawahnya dihentikan.
MFW dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu diambil bagi mengikuti arahan dan ketetapan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung isu yang telah mendapat perhatian umum baru-baru ini.
“Langkah ini diambil sebagai tanda ketaatan kepada pihak berkuasa agama, serta keinsafan kami terhadap keperluan menjaga kemaslahatan ummah dan nama baik agama Islam di negara ini.
“Pihak kami membubarkan secara rasmi MFW mengikut lunas undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
“Proses pembubaran ini akan dilaksanakan dengan penuh tertib dan kerjasama bersama-sama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) agar semuanya berjalan mengikut prosedur yang sah,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Isnin lalu, Presiden MFW, Noorman Kamsani tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul melibatkan sistem Muslim Choice.
Terdahulu pada Ahad, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.
Jelas Sirajuddin, istilah diperkenalkan MFW itu antara lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Mengulas lanjut, MFW memaklumkan, pihaknya menginsafi sepenuhnya bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah berpaksikan kepada kepentingan agama, keharmonian masyarakat serta menjaga sensitiviti umat Islam.
“Justeru, kami menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka, penuh rasa tanggungjawab dan rendah diri.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli MFW, kami memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada pihak berkuasa agama, agensi kerajaan serta mana-mana individu atau pihak yang mungkin terkesan akibat daripada kekeliruan, salah faham atau kecuaian di pihak kami,” jelas MFW lagi.
Tambah kenyataan itu, pihak MFW mengambil pelajaran besar daripada pengalaman ini dan berazam untuk memperbaiki diri serta terus menyumbang kepada masyarakat dalam ruang lingkup yang lebih berhemah dan berlandaskan garis panduan pihak berkuasa agama.
“Kami menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan panduan, teguran, nasihat serta doa yang membina sepanjang proses ini.
“Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan rahmat kepada semua pihak yang berusaha menjaga kemuliaan agama dan kesejahteraan umah,” jelas kenyataan itu.- MalaysiaGazette


