IPOH – Malaysia Gazette (MG) Perak menerima pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pendukung Seni Negeri kategori Media sempena penganjuran Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025.
Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said berkata, penghargaan itu dianggap sebagai suntikan semangat buat MG Perak yang baru beroperasi di negeri ini kurang daripada dua tahun.
Menurutnya, anugerah itu sekaligus menegaskan komitmen MG Perak untuk terus memainkan peranan sebagai rakan media dalam memperkukuhkan penyebaran berita berkaitan seni, budaya dan warisan di negeri ini.
“Pertama sekali, saya mewakili MG Perak ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak kerana memberi peluang dan memilih MG Perak sebagai penerima Anugerah Pendukung Seni Media bagi kategori media untuk tahun 2025.
“Meskipun kami tidak sampai dua tahun berada di Perak, penghargaan seperti ini benar-benar cukup membakar semangat kami untuk terus berkarya dan hasil ini adalah kerja berpasukan kami di MG Perak.
“Kami akan terus melaporkan berita kesenian, kebudayaan warisan yang ada di negeri ini untuk bacaan serta tatapan pelayar-pelayar portal Malaysia Gazette dan juga MG Perak,” katanya ketika ditemui pada majlis ASN Perak 2025 di Hotel Travelodge di sini, malam tadi.
Majlis anjuran JKKN Perak itu diadakan khusus untuk memberi pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang telah menunjukkan dedikasi, ketekunan dan sumbangan dalam pelbagai cabang seni budaya di negeri.
Sebanyak 19 daripada 50 pencalonan dipilih menerima anugerah yang meliputi bidang teater, muzik, tari, seni halus, seni belakang tabir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum, sekolah harapan seni budaya serta media seni budaya.
Penerima anugerah memenangi hadiah antara RM1,000 hingga RM5,000; plak; cek cura dan sijil penghargaan.
Anugerah-anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Pengukuhan Seni Budaya, Saiful Khairi Ahmad.
Artikel Berkaitan:
Penggiat seni penjaga khazanah, penyambung budaya bangsa – Saarani