IPOH – Malaysia Gazette (MG) Perak berjaya meraih enam Anugerah Perak Sejahtera 2030 pada Malam Media Perak Sejahtera Tahun 2025 di Galasa Caldwell, dekat sini, pada Isnin.
Jurugambar, Abdullah Yusof dinobatkan sebagai juara Anugerah Foto Terbaik melalui gambar bertajuk ‘Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Masyarakat Orang Asal.

Pada masa sama, juruvideo, Akmal Syakir Mohd Yusof menduduki tempat pertama bagi Anugerah Video Digital Terbaik menerusi video ‘Tinja Gajah Zoo Taiping Jadi Emas Hijau’ dan Firdaus Nazmi Hussin di tempat kedua kategori sama hasil penerbitan video ‘Ceritera Seorang ‘Scavenger’ Di Sebalik Timbunan Sampah’.

Selain itu jurugambar, Muhamad Aniq Nabilafiq Mohd Anuar diumumkan sebagai pemenang di tempat kedua bagi Anugerah Foto Esei Terbaik menerusi karya bertajuk ‘Harta ‘Scavenger’ Di Sebalik Timbunan Sampah’.

Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said merangkul tempat kedua bagi Anugerah Berita Digital Terbaik Bahasa Melayu melalui artikel ‘Industri Tenusu Di Perak Sumbang Ketersediaan Makanan Segar, Pendapatan Penternak’, serta artikel ‘Tinja Gajah Jadi Emas Hijau’ meletakkan wartawan, Amirrul Rabbani Rashid di tempat kedua Anugerah Rencana Terbaik.

Bagi semua kategori, juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, manakala RM1,000 bagi pemenang di tempat kedua.
Hadiah disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir sama ke majlis, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Ketika ditemui selepas majlis, Mohamad Hafizi merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Besar Perak atas penganjuran pertandingan serta pengumuman insentif bernilai RM500 kepada setiap seorang pengamal media di Perak.
Mengulas tentang enam anugerah yang diraih, beliau menyifatkan ia sebagai pembakar semangat buat semua warga MG Perak dalam menghasilkan lebih banyak karya sama ada melalui penulisan, gambar mahupun video khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan Pelan Perak Sejahtera 2030 kepada rakyat.
“Kami akan berusaha lebih gigih dalam menyampaikan berita dan maklumat berkenaan Perak Sejahtera 2030, selari dengan hasrat kerajaan negeri dan juga Menteri Besar Perak,” katanya.

Pada masa sama, Abdullah yang mengekalkan kemenangan Anugerah Foto Terbaik dua tahun berturut-turt berkata, pada penganjuran seterusnya beliau menyasarkan kedudukan bagi kategori Anugerah Foto Esei Terbaik.
Menceritakan tentang gambar yang dimenangi Abdullah berkata, ia diambil semasa Saarani beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli dalam satu program di Ipoh.
“Ia menonjolkan sikap akrab Menteri Besar Perak bersama masyarakat Orang Asli yang mana saya merasakan ia adalah momen menarik untuk dirakam dalam gambar,” katanya lagi.

Sementara itu, Akmal Syakir yang bersyukur dengan kemenangan kali pertama diraihnya itu berkata, proses penghasilan video berkenaan tidak terlalu sukar apabila mendapat kerjasama baik dengan Majlis Perbandaran Taiping.
“Proses untuk saya menghasilkan video ini juga berjalan dengan lancar hasil kerjasama pasukan terdiri daripada wartawan, Amirrul Rabbani dan jurugambar, Abdullah.
“Dengan adanya anugerah seperti ini, kami akan menghasilkan lagi video-video yang lebih baik dalam mempromosikan lagi Perak Sejahtera 2030,” ujarnya yang turut memenangi Anugerah Pakaian Terbaik dan membawa pulang RM500. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


