MG Perak rangkul enam kemenangan Anugerah Media Perak

IPOH – Biarpun baru memulakan operasi pada Oktober 2023, Malaysia Gazette (MG) Perak, mendominasi empat daripada enam anugerah sempena Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak, di sini, malam tadi.

Empat kategori tersebut adalah Anugerah Berita Ekonomi Terbaik, Anugerah Visual Terbaik dan Anugerah Gambar Terbaik (Menteri Besar Bersama Masyarakat) dan Anugerah Berita Terbaik.

Lebih bermakna apabila dua juruvideo MG Perak, Siti Hajar Mohd Salleh dan Firdaus Nazmi Hussin masing-masing merangkul tempat pertama dan kedua bagi kategori Anugerah Audio Visual Terbaik melalui video bertajuk ‘Kolam Air Masin Bakau De Baruh Lubuk Kaki Pancing Lepas Gian dan ‘Kabin Kecil Pakcik Osman, Si Tukang Kasut’.

MG Perak meneruskan dominasi apabila merangkul tempat pertama dan ketiga bagi Anugerah Berita Ekonomi Terbaik melalui Editornya, Mohamad Hafizi Mohd Said dengan laporan bertajuk ‘Perak Perlu Kolaborasi Swasta Bawa Pulang Tenaga Kerja Mahir’ dan wartawan Amirrul Rabani Rashid dengan berita ‘Perkasam Taiping Tembusi Pasaran Luar Negara’.

Pemenang tempat pertama Anugerah Berita Ekonomi Terbaik Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said bersama pemenang tempat pertama Anugerah Audio Visual Terbaik juruvideo MG Perak, Siti Hajar Mohd Salleh dan pemenang tempat pertama Anugerah Gambar Terbaik jurugambar MG Perak, Abdullah Yusof pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 FEBRUARI 2024.

Turut mendapat tempat pertama Jurugambar MG Perak, Abdullah Yusof bagi kategori Anugerah Gambar Terbaik melalui gambar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani bersama masyarakat di Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh.

Seorang lagi wartawan MG Perak, Rosdalilah Zahari pula memperoleh tempat ketiga bagi Anugerah Berita Terbaik melalui laporan bertajuk ‘Selagi sihat, saya akan terus bantu orang ramai – Yogeswary’.

Selain daripada memenangi wang tunai berjumlah RM1,500 bagi tempat pertama, RM1,000 tempat kedua dan RM500 tempat ketiga mereka juga turut menerima sijil penghargaan.

Bagi Mohamad Hafizi, kemenangan yang diperoleh dalam empat kategori berkenaan merupakan usaha berpasukan memandangkan portal berita MG Perak masih lagi baharu di negeri ini.

“Syarat penyertaan mestilah laporan berita bermula Januari sehingga Disember 2023 dan kami MG Perak memulakan operasi di negeri ini pada Oktober tahun lalu, jadi penyertaan yang dihantar hanyalah laporan bagi tempoh tiga bulan sahaja.

“Alhamdulillah, berkat usaha kami berpasukan bertungkus-lumus dengan bimbingan Ketua Pengarang, Puan Noraini Razak dalam menyajikan laporan khusus kepada penduduk di Perak dan Malaysia amnya, membuahkan hasil dan ini menjadi pembakar semangat untuk kami,” katanya.

Para pemenang anugerah dari MG Perak pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 FEBRUARI 2024.

Sementera itu, Abdullah yang berpengalaman 17 tahun sebagai jurugambar menyifatkan kemenangan beliau bagi Anugerah Gambar Terbaik sebagai rezeki dan merupakan pengiktirafan di atas usahanya dalam memastikan gambar yang ditangkap membawa makna tersurat dan tersirat.

“Kemenangan ini merupakan sebuah pengiktirafan atas karya MG Perak dan akan menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan gambar-gambar menarik selepas adanya anugerah ini,” katanya.

Juruvideo Siti Hajar pula menyifatkan kemenangan beliau bagi Anugerah Visual Terbaik sebagai pendorong untuk terus maju dalam kerjayanya selain memastikan nama MG Perak dikenali ramai.

“Alhamdulillah syukur atas kemenangan ini dan terima kasih kepada rakan-rakan serta semua yang sentiasa menyokong dan membantu saya.

“Kemenangan ini akan saya jadikan sebagai pendorong untuk lebih maju dalam kerjaya,” katanya. -MG Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI