MELAMBANGKAN identiti budaya Melayu Perak, tekat benang emas merupakan seni sulaman tradisional yang khusus dalam adat istiadat diraja serta perkahwinan di negeri ini.
Seni kraf halus ini melibatkan sulaman menggunakan benang emas pada kain baldu bagi menghasilkan corak istimewa sarat dengan nilai estetika serta kelihatan mewah.
Bermotifkan flora tekat benang emas bukan sahaja mencerminkan identiti dan sejarah masyarakat Melayu Perak tetapi juga setiap motif yang dihasilkan mempunyai makna tersendiri dan diwarisi sejak berzaman.
Kehalusan seni yang menggunakan sulaman tangan ini masih diusahakan oleh beberapa individu seperti Azizah Adam yang kini menetap di Kampung Padang Changkat Bukit Chandan, Kuala Kangsar. – MGPerak





