IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan menumpukan kawasan berisiko tanah runtuh dan banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran sistem saliran di seluruh negeri.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tanah runtuh ialah laluan dari Gerik menuju ke Jeli serta laluan dari Simpang Pulai ke Blue Valley di Cameron Highlands.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama syarikat konsesi terlibat akan meningkatkan pemantauan dan penyelenggaraan di kawasan terlibat sepanjang tiga bulan musim MTL bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh. – MGPerak





