‘Awas, harimau di Pekan Gerik’, antara tulisan yang terdapat salah satu lukisan mural Lintasan Harimau yang mewarnai Laman Seni Gerik.
Terdapat kira-kira 14 lukisan mural termasuk dua Lintasan Harimau di atas jalan raya yang menghiasi deretan belakang kedai di Jalan Tun Saban di Pekan Gerik.
Antara yang dipaparkan adalah, pekasam ikan loma, Taman Negeri Royal Belum, bunga rafflesia atau pakma, Gunung Kenderong serta pelbagai lukisan yang memaparkan makanan tradisi, masyarakat setempat serta aktiviti pelancongan.
Difahamkan ia dihasilkan oleh lima pelukis muda tempatan, hasil daripada peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Majlis Daerah Gerik (MDG).
Kewujudan lukisan-lukisan mural itu memberi nilai tambah kepada keceriaan pekan kecil yang terdapat di Daerah Hulu Perak itu. – MGPerak