GERIK – Tangisan dan suasana bising di lokasi kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Isnin memenuhi segenap ruang.
Usaha menyelamatkan ke semua mangsa termasuk pemandu dan kelindan bas beserta empat beranak menaiki Perodua Alza dilakukan secara berterusan dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan.
Difahamkan mangsa yang meninggal di lokasi kejadian diasingkan di satu lokasi diikuti mangsa yang mengalami kecederaan parah dan cedera ringan.
Bagi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, Muhammad Isma Aliff Mod Asri, 24, setibanya di lokasi dia mendengar teriakan mangsa dengan jelas sebelum melaporkan diri untuk menerima arahan menyelamat. – MGPerak