Keputusan sama ada untuk mengoperasikan semula laluan penerbangan Ipoh ke Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang masih digantung, atau sebaliknya, terletak kepada keputusan syarikat penerbangan.
Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata ini kerana pelbagai proses yang agak rumit perlu dilalui terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan ke atas laluan penerbangan itu dapat dibuat.
Beliau berkata demikian selepas meraikan 300 penumpang penerbangan Singapura ke Ipoh sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 di LTSAS sini, pada Isnin.