TELUK INTAN – Perak menyambut baik cadangan untuk meneliti dan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperkukuh tanggungjawab ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan serta pengabaian kanak-kanak.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dalam aspek penjagaan anak, selari dengan realiti sosial dan budaya setempat.
Menurutnya, memang tidak dinafikan ada kes-kes pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa yang tidak boleh diambil tindakan kerana terdapat kelompongan dalam undang-undang sedia ada.
Selain itu, beliau turut memberi contoh situasi di negara luar di mana ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang kerana mendidik anak-anak mengikut kepercayaan agama, sesuatu yang menurutnya perlu dielakkan di Malaysia. – MGPerak