IPOH – Hanya dalam tempoh enam jam, pelajar perlu menghasilkan model pusat komuniti dua tingkat yang merangkumi tiga disiplin utama iaitu seni bina, kejuruteraan struktur, dan sistem perpaipan, dalam pertandingan akhir BIM Challenge 2025.
Seramai 45 peserta melibatkan tiga kategori iaitu Diploma/Sijil, Ijazah dan Antarabangsa bersaing bagi menghasilkan, menghubung dan menganalisis maklumat digital model-model sepanjang perkembangan projek pembinaan berdasarkan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Pemenang tempat pertama kategori Ijazah, Wan Amirrul Afruz Wan Azhar, 25, mengakui tidak menyangka akan dipanggil naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut.
Sementara itu, bagi kategori Diploma/Sijil, pelajar dari Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Selangor, Nurul Ain Rahmat, 22, yang kini berada di semester lima Diploma Teknologi Seni Bina, turut tidak menyangka akan meraih tempat pertama dalam pertandingan tersebut. – MGPerak