MIC akan gerak jentera bawa pengundi keluar 26 April

TAPAH: Jentera Jalinan Rakyat (JR) akan digerakkan MIC bagi mendekati 3,000 pengundi putih kaum India yang dikenal pasti termasuk membantu membawa mereka ke pusat pengundian 26 April ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan berkata, pihaknya telah mengarahkan semua JR setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk berusaha sehabis baik membawa keluar seberapa ramai pengundi pada hari berkenaan.

“Kita akan mengawal keadaan daripada pagi, jika sampai jam 1 tengah hari mereka masih belum keluar mengundi, jentera akan bergerak ke rumah untuk bawa mereka keluar.

“Semua PDM akan memainkan peranan aktif, tanggungjawab itu kita serahkan kepada JR yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Air Kuning, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, ditanya mengenai tempoh kempen yang tinggal kurang seminggu Saravanan berkata, Barisan Nasional (BN) Tapah akan memperhebatkan gerak kerja kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, mereka akan menggunakan setiap masa yang ada untuk mendekati seramai mungkin pengundi termasuk menawan pengundi atas pagar.

“Bagi pecutan untuk minggu terakhir ini, MIC akan bertemu pengundi dalam kumpulan kecil untuk menjelaskan beberapa isu yang timbul dan disensasikan oleh pihak tertentu.

“Kita akan bertemu mereka dan jelaskan apa yang terjadi. Kaedah kempen sebegini dilihat lebih berkesan dalam memberi pemahaman kepada mereka,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Ustaz Yusri mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI