TAPAH – MIC menyokong usul berkaitan tuntutan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr M Saravanan berkata, ia ekoran lebih 100 bahagian mengemukakan usul berhubung perkara berkenaan buat julung kalinya.
“Hari ini kita kita lihat mungkin ramai tunggu keputusan 1MDB, dan kita sudah mendapat keputusan berkenaan.
“Jadi MIC sokong cadangan itu. Ini julung kali dalam PAU hampir 100 lebih bahagian memutuskan (usul pengampunan penuh). Jadi ia satu cadangan baik dan MIC sentiasa menyokong,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan peralatan kepada penjaja, pekebun, penternak, wakil surau, JPKK, PIBG sekolah, kuil dan tokong di Bangunan MIC Tapah, di sini, pada Sabtu.
Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan usul berkaitan tuntutan pengampunan penuh terhadap Najib paling banyak diterima sempena PAU 2025 yang bakal berlangsung 14 hingga 17 Januari ini.
Beliau berkata, sebanyak 104 bahagian mengemukakan usul berhubung perkara itu, berbanding keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat UMNO selepas persidangan bahagian-bahagian UMNO tahun lalu.
“Daripada keseluruhan usul yang diterima, antara yang paling banyak dan hangat dibangkitkan oleh bahagian-bahagian UMNO ialah tuntutan keadilan serta pengampunan penuh untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak, melibatkan 104 bahagian,” katanya. -MG Perak


