KUALA LUMPUR – Pemimpin MIC perlu segera meletakkan semua jawatan dalam kerajaan sekiranya benar-benar berasa seperti dipinggirkan atau dianaktirikan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, M. Thulsi berkata, adalah tidak wajar pemimpin parti itu masih menikmati keistimewaan sebagai sebahagian daripada kerajaan seperti memegang jawatan penting dan menerima gaji, tetapi dalam masa terus mengkritik kerajaan.
Tegas beliau, pendekatan seperti itu hanya akan melemahkan usaha bersama dan menunjukkan kurangnya komitmen terhadap matlamat bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya menggesa MIC supaya meletak jawatan serta-merta dan ambil masa untuk menilai semula peranan masa depannya, tanpa dipengaruhi oleh kedudukan semasa.
“Hanya dengan cara ini sebarang keputusan boleh dibuat secara objektif dan tanpa prejudis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yang berasakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu disisihkan dan seperti tidak diperlukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dakwa Saravanan, parti itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan termasuk di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun mempunyai pemimpin politik kanan yang berpengalaman sepertinya dalam barisan kepimpinan.
Sehubungan itu, ujar beliau, MIC akan membuat keputusan mengenai hala tuju masa depannya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Oktober depan.
Dalam pada itu, Thulsi yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, sekiranya MIC tidak mahu mengambil tindakan segera susulan rungutan yang dibangkitkan, maka adalah wajar pemimpin parti tersebut bekerjasama secara ikhlas untuk membina semula Malaysia yang lebih kuat dan inklusif demi kesejahteraan seluruh rakyat. – MalaysiaGazette