IPOH – Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) entiti milik MIC memperuntukkan RM436,930 bagi membantu 12 pelajar India dari Perak yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Naib Presiden MIC Tan Sri M Ramasamy memaklumkan wang itu akan diagihkan kepada pelajar berkelayakan dalam bentuk pinjaman dan geran pendidikan.
Menurutnya, pelajar yang terpilih bagi siri pertama ini melibatkan 10 Parlimen iaitu Bagan Datuk, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Tambun, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Bukit Gantang dan Taiping.
“Pelajar yang menerima bantuan ini terdiri daripada golongan B40 dan telah disaring dengan teliti untuk memastikan mereka benar-benar layak dan memerlukan.
“Setiap pelajar menerima jumlah yang berbeza mengikut peringkat pengajian, sama ada diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) antara RM10,000 hingga RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penyampaian cek pinjaman dan geran pendidikan MIED kepada pelajar di negeri ini di Pejabat MIC Perak di sini pada Ahad.
Ramasamy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak berkata, lebih RM200 juta diperuntukkan MIED sejak inisiatif itu bermula pada 1984. – MG Perak
Artikel Berkaitan: