Miliki diesel tanpa lesen, pengurus syarikat didenda RM40,000

IPOH – Seorang pengurus di sebuah syarikat logistik dan pengangkutan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas kesalahan memiliki 6,633 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yap Shao Pin, 31, juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan barang kawalan yang dirampas sebanyak RM17,909.10 serta empat lori tangki dilucuthak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan pengurus Syarikat T&L Supply Trading Sdn. Bhd. didapati telah ada dalam milikan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 6,633 liter.

Bagi kesalahan itu, lelaki berkenaan didapati telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit tanpa lesen.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu di T&L Supply Trading Sdn. Bhd., Persiaran Rishah 14, Kawasan Perindustrian Silibin, Ipoh pada jam 1 petang, 5 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Dahlia Tan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak tumpas sindiket jual diesel RM2 seliter

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI