SEBUAH warung yang beroperasi di antara deretan kedai bangunan kayu era penjajah memecah susana hening malam di Pekan Sungkai, Tapah.
Warung yang dikenali dengan nama ‘Kedei Kupi Cherok’ (Kedai Kopi Ceruk) menjadi tumpuan penduduk setempat dan luar untuk menikmati juadah malam serta bersantai bersama rakan mahupun keluarga.
Masa seakan-akan terhenti tatkala melangkah masuk apabila di setiap sudut kedai berkenaan dihiasi dengan pelbagai barang antik yang cukup mampu menggamit kenangan nostalgik.
Suhaimi Huzai , 45, berkata, konsep warung yang diusahakan sejak 7 Ogos lalu itu timbul melalui minatnya terhadap barang-barang lama yang disifatkan mempunyai nilai estetika serta sentimental tersendiri.
Malah katanya, mintanya itu juga dikongsi bersama isteri bersama empat anak yang turut membantu menjalankan perniagaannya di Kedei Kupi Cherok.
“Pada asalnya saya mula meminati dan menyertai kumpulan penggemar kenderaan Volkswagen seperti van Kombi.
“Isteri dan anak-anak tak ada masalah terhadap minat saya kepada kenderaan dan barangan lama. Sebelum ini saya letak barang-barang antik di rumah pun keluarga tak ada masalah,” katanya ketika ditemui MG Perak, baru-baru ini.
Dia yang mesra disapa ‘Amy’ memberitahu, selain kaunter kedai antik, antara barangan lama yang menjadi perhiasan di dalam Kedei Kupi Cherok adalah papan tanda Stesen Minyak Shell, vespa, radio, basikal, lampu minyak tanah, papan jadual perjalanan bas dan sebagainya.
Tambahnya, kebanyakan barangan lama yang berada di setiap sudut kedai berkenaan adalah milik peribadi serta sumbangan rakan serta ahli keluarga lain.
Menurut Suhaimi, dia juga tidak menyangka perniagaan yang pada asalnya dirancang untuk dijalankan secara santai, mendapat sambutan yang menggalakkan.
Katanya lagi, peranan video pendek pada laman sosial TikTok yang dihasilkan pelanggan amat membantu perniagaannya sehingga berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar Negeri Perak.
‘Bagai sirih pulang ke gagang’
Menceritakan detik-detik awal, Suhaimi berkata, selepas 25 tahun merantau di Ibu Negara dan Putrajaya, dia sekeluarga membuat keputusan untuk kembali ke kampung halamannya di Sungkai.
Walaupun tiada pengalaman dalam dunia perniagaan makanan dan minuman, Suhaimi memberitahu dia nekad untuk menceburi perusahaan itu.
Perjalanannya dalam mencari lokasi perniagaan akhirnya terhenti di hadapan sebuah lot kedai kayu lama yang sebelum ini merupakan sebuah kedai runcit di Pekan Sungkai.
“Semasa mula-mula masuk ke kedai ini, isteri pernah kata adakah saya gila untuk buka warung di sini, memandangkan keadaan kedai sangat uzur serta dipenuhi dengan sampah.
“Saya katakan pada isteri, kita cuba sahaja (jalan perniagaan ini). Dan jika perniagaan warung tidak berjaya, saya pernah bercadang untuk jadikan ia sebagai galeri peribadi saya,” katanya lagi.
Malah ujar Suhaimi, pemilik kedai juga pada awalnya seakan-akan tidak percaya bahawa Suhaimi mahu menyewa kedai usang itu.
Katanya, bermula daripada proses pembersihan, pembaikkan sehingga ke dekorasi, hampir kesemuanya dilakukan sendiri dan ia mengambil masa lima bulan sebelum Kedei Kupi Cherok beroperasi.
“Saya anggarkan kos menyiapkan warung ini secara sendiri sebanyak RM10,000 berbanding jika saya beri upah pada orang, mungkin ia memakan kos sehingga RM100,000,” ujarnya.
Menurut Suhaimi, antara menu yang tersedia di Kedei Kupi Cherok adalah kopi, mi kari, roti bakar, lempeng, nasi lemak, dan sebagainya.
Justeru katanya, selain daripada ingin menambah menu lain, dia berharap perniagaan yang diusahakan itu dapat terus berkembang, di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaannya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Momen Keeta buka ruang anak muda selami dunia piring hitam
MGPerak: Minat Pada Barang Antik, Dorong Suhaimi Buka Kedei Kupi Cherok
TONTON TEMURAMAH PENUH
MGPerak: Minat Pada Barang Antik, Dorong Suhaimi Buka Kedei Kupi Cherok
[…] Minat pada barang antik, dorong Suhaimi buka Kedei Kupi Cherok […]
salam sahabat, Tahniah atas kejayaan perniagaan – abg Zamri ( Sentul)K.L