Misi pelaburan Perak ke Eropah berjaya tarik RM450 juta

IPOH – Kerajaan Perak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM450 juta susulan lawatan kerja ke tiga negara Eropah iaitu Perancis, Belgium dan United Kingdom (UK) pada 9 hingga 18 Mei lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak itu bermula di Perancis melibatkan syarikat Saint-Gobain iaitu peneraju global dalam industri bahan binaan.

Menurutnya, syarikat berkenaan telah mengumumkan pelaburan tambahan melebihi RM200 juta di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor.

“Seterusnya, kita turut mengadakan satu lawatan kerja rasmi ke kilang pengasingan dan pemprosesan unsur nadir bumi (REE), Solvay La Rochelle, Perancis.

“Kita melihat teknologi baru dan melihat sendiri bagaimana syarikat yang sudah lama beroperasi sejak 1945 menjalankan proses pengasingan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Katanya, selepas Perancis, delegasi meneruskan lawatan ke Belgium menyaksikan sesi penting bersama Port of Antwerp-Brugge International (POABI) dengan tiga syarikat yang berminat untuk melabur dalam projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Syarikat terbabit Belgian Scrap Terminal (BST) adalah peneraju dalam teknologi pemisahan bahan kitar semula yang canggih dan mematuhi piawaian alam sekitar.

“Soenen Group Green Vessel Recycling pula merupakan sebuah syarikat Belgium yang pakar dalam pelupusan kapal secara lestari, penyelamatan marin dan pemulihan kargo rosak.

“Sebuah lagi syarikat iaitu Steinberg Logistics International adalah penyedia perkhidmatan logistik yang menawarkan penyelesaian menyeluruh termasuk pengangkutan multimodal, pergudangan, dan perkhidmatan penghantaran,” ujarnya.

Tambahnya, semasa misi di Belgium, syarikat Lhoist Group yang menjadi pemain utama dalam industri ‘Quicklime’ dan ‘Hydrated Lime’ telah menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak RM250 juta dalam pembesaran operasi mereka di Air Kuning, Tapah.

“Lawatan itu turut membuka jalinan  kerjasama dengan pakar nutrisi akuakultur Belgium, Profesor Dr. Patrick Sorgeloos untuk berkolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bagi menghasilkan makanan udang.

“Pelaburan yang sudah pasti adalah RM450 juta. Itu tidak termasuk yang SADC. Tak termasuk tiga syarikat di LuMIC tadi,” jelasnya.

Katanya, lawatan ke Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) di  Belgium, tiga syarikat Eropah dijangka hadir ke Perak pada Jun ini untuk melihat potensi pelaburan di LuMIC.

Saarani juga berkata, lawatan ke Leicester, UK pula adalah bagi menilai potensi untuk membangunkan litar pandu uji Pusat Ujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak rancang tubuh Pusat Ujian Automotif Kebangsaan

Perak tarik pelaburan RM200 juta dari Perancis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI