Misi promosi pelaburan ke China capai matlamat – MB Perak

KUALA LUMPUR – Misi promosi pelaburan Kerajaan negeri Perak ke China minggu lalu, berjaya mencapai matlamat dalam mengetengahkan daya tarikan negeri ini kepada beberapa syarikat dari negara tembok besar itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, promosi pelaburan bermula dari 15 hingga 21 Oktober lalu, menyaksikan beberapa perjanjian kerjasama terjalin antara Perak dan China melibatkan industri mineral.

Menurutnya, melalui beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani jelas memperlihatkan keyakinan China untuk menjadikan Perak sebagai destinasi pelaburan bagi negara itu.

“Antara kejayaan yang dicapai termasuklah pemeteraian perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan syarikat inkubasi dan inovasi terkemuka China, Shanghai TusStar Business Incubator, bagi menjadikan Perak sebagai destinasi ideal untuk usahawan inovatif dengan potensi pertumbuhan kukuh.

“Sayap pelaburan Perak terus dikembangkan melalui Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) dan Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd (Sinopont), yang memeterai MoU bagi projek menghasilkan enkapsulasi filem dengan jumlah pelaburan bernilai RM2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media, selepas merasmikan program Invest Series – Edisi Perak anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, pada Isnin.

Saarani berkata, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), turut meneroka potensi kerjasama dengan Rare Earth Group Co Ltd (CREG), yang berpengkalan di Nanning bagi teknologi terkini pengasingan unsur nadir bumi serta proses rehabilitasi atau pemuliharaan tapak industri tersebut.

Jelas beliau kerjasama yang terjalin itu juga secara tidak langsung dapat membantu Perak untuk menjadi hab mineral negara pada masa akan datang.

“Selain itu, delegasi kerajaan negeri ke China juga berjaya mengukuhkan lagi kerjasama dengan rakan dagang strategik termasuk syarikat gergasi automotif China Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) melalui perbincangan khusus untuk menjayakan projek pelaburan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim bernilai RM32 bilion.,” katanya. – MG Perak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI