PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan digesa untuk mempercepatkan pelaksanaan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dijadualkan bermula akhir April kepada awal Mac ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya iPayment gagal dipercepatkan, beliau mengarahkan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit ke atas jabatan-jabatan kerajaan yang tidak kompeten.
“Saya sekali lagi gesa supaya program iPayment ini dipercepatkan dari unjuran jadual akhir April kepada awal Mac, makna minggu pertama Ramadan.
“Kalau tak siap, tolong bagi tahu jabatan audit dan ambil tindakan supaya jabatan-jabatan ‘slow’ itu diaudit mendalam betul-betul.
“Saya harap dapat diberikan makluman kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan saya,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Sistem iPayment di Kementerian Kewangan, di sini, pagi ini.
Sistem iPayment diperkenalkan hasil daripada ikhtiar Jabatan Akauntan Malaysia untuk membudayakan pendekatan baharu kepada rakyat menerusi satu kaedah di mana pembayaran dibuat tanpa tunai.
Perdana Menteri juga berkata, Sistem iPayment diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan selain mengelakkan karenah birokasi hingga menyebabkan rakyat terpaksa menunggu masa lama khususnya ketika berurusan di kaunter kerajaan.
“Sistem iPayment, bagi saya satu langkah ke depan kerana selain daripada prakasa baharu yang dibentangkan, ia ada makna langsung kepada rakyat.
“Bagi saya khidmat awam ini diukur di sini, kadang-kala kita di dewan seperti ini, kita bicara soal dasar dan strategi, tetapi kelemahan yang biasanya (berlaku) bila kita turun ke daerah dan jabatan-jabatan.
“Saya pernah solat Jumaat di kawasan sekitar Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, saya melihat barisan begitu panjang sampai ke kedai-kedai hanya untuk menunggu giliran memperbaharui pasport, dan soal-soal lain,” katanya.
Perdana Menteri tidak mahu ketidakcekapan itu berulang dalam sektor perkhidmatan awam sedangkan usaha kerajaan dalam reformasi institusi tidak benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Ini masalah yang disebut ‘disconnect’ di antara dasar dan prakasa baharu yang kita bentangkan dengan manfaat secara langsung dalam kalangan rakyat.
“Walaupun saya akui dalam setahun dua ini memang hal ini ditingkatkan dan semua pimpinan kementerian, ketua setiausaha dan ketua pengarah melaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Tetapi harus ingat bahawa ukuran akhirnya ialah bagaimana majoriti rakyat mengecapi nikmat pembaharuan reformasi yang kita bicarakan,” katanya.
Selain itu, katanya, reformasi institusi dapat dilihat bermula dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam meningkatkan kepantasan urusan di pintu negara dan mengatasi masalah kesesakan di lapangan terbang.
“Maknanya ada pelaksanaan yang baik, cuma lagi dilaksanakan untuk warga asing dan pelancong.
“Tetapi pelaksanaan peringkat awal ini sangat menggalakkan, dia menyelesaikan banyak masalah kerana selalunya bila jabatan bila kita tengok ada masalah, dia kata kekurangan kakitangan dan kemudahan.
“Tapi bila dilaksanakan dengan pantas, nampaknya ialah kekurangan kebijaksanaan kita memperkenalkan sistem yang telah kita umumkan sebagai transformasi digital,” katanya.
Perdana Menteri turut berharap agar pembaharuan dalam sistem bayaran tanpa tunai itu diperluaskan ke negeri-negeri di seluruh negara.
“Jadi ikhtiar madani yang diluncurkan hari ini ialah untuk memperluaskan ipayment kepada semua kementerian, jabatan dan agensi persekutuan
“Saya harap insya-Allah akan dikembangkan ke negeri-negeri. Sebab itu cabarannya jabatan ialah untuk memastikan pelaksanaan itu dipercepatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette