KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Mohd Khalid secara kontrak selepas bersara termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, diperkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Kerajaan Madani mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Bin Hj Ismail di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini
Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan/keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama.
Mohd Khalid mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara.
Beliau pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom.
Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.
Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 sehingga kini.
Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin dalam kenyataan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun
2023. – MalaysiaGazette