Mohd Sapri hasilkan Rebana Perak lebih 25 tahun

NUN di Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, terletak sebuah bengkel kecil yang masih utuh meneruskan pembuatan alat muzik tradisional negeri ini yang digelar Rebana Perak.

Dari luar kelihatan sosok seorang lelaki sedang tekun memukul perlahan permukaan kulit Rebana Perak dengan irama pukulan rebana yang mengasyikkan kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Mula berkecimpung dengan Rebana Perak sejak berusia 10 tahun, Mohd Sapri Bahari, 70, merupakan antara individu yang menghasilkan alat muzik berkenaan di negeri ini.

Beliau yang berasal dari Kampung Kepala Bendang itu berkata, minatnya terhadap Rebana Perak bermula dengan sekadar berseronok bersama rakan-rakan di kampung.

Namun siapa sangka dari sekadar suka-suka akhirnya menjadi serius sehingga beliau merupakan antara sosok yang memartabatkan Rebana Perak bermula dari pembuatan sehingga kaedah bermain alat muzik berkenaan.

“Saya bermain Rebana Perak dari kecil lagi dan di situlah saya belajar menyanyi lagu-lagu Arab dan Melayu klasik mengikut cara orang-orang tua dahulu.

Pembuat rebana Perak, Mohd Sapri Bahari, 70, telah mendedikasi hidupnya lebih 38 tahun dalam memastikan alat muzik rebana Perak ini kekal serta dikenali generasi selepasnya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Dari situlah ilmu mengenai rebana Perak ini masuk sedikit demi sedikit sehingga saya boleh mengajar mereka yang berminat untuk bermain alat muzik ini,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Mohd Sapri berkata, meskipun menjejak ke alam pekerjaan dia masih aktif bermain Rebana Perak apabila mempunyai waktu lapang dan menerima jemputan mengajar di luar.

“Masa ini saya belum bergiat dalam pembuatan Rebana Perak sehinggalah apabila saya bersara pada tahun 2000 saya berfikir apa yang boleh saya buat selain duduk di rumah sahaja.

“Maka saya nekad untuk mula menghasilkan Rebana Perak kerana saya fikir elok saya ketengahkan sebab saya ada ilmu pembuatan, permainan, teknik pukulan dan lain-lain yang boleh berkongsi,” katanya.

Rebana Perak bermula dari Kesultanan Perak

Ditanya mengenai asal usul Rebana Perak, Mohd Sapri berkata, ia dikatakan bermula daripada Kesultanan Melayu Perak sekitar 1825 melibatkan pedagang Arab yang singgah di muara Sungai di Teluk Intan.

Rebana Perak mempunyai saiz, talaan dan bahan pembuatan tersendiri. Kulit lembu atau kerbau dipadankan dengan kayu halban, nangka atau kayu sungai, menjadikan setiap rebana unik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata, apabila Sultan Perak akhirnya menetap di Kampung Sayong Kuala Kangsar, para pedagang Arab turut mengikuti baginda dan kemudiannya mencurahkan ilmu tentang permainan rebana di Kuala Kangsar.

“Maka di Kuala Kangsar ini banyaklah ilmu tentang permainan Rebana Perak dicurahkan pedagang-pedagang Arab termasuklah teknik pukulan dan lain-lain.

“Jadi di sinilah menunjukkan asalnya Rebana Perak segala ilmu tentang kelebihan, pukulan, rentak dan lagu lebih kepada Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya, kewujudan Rebana Perak di beberapa daerah sepanjang Sungai Perak turut dibawa pedangang-pedagang Arab yang singgah semasa pelayaran mereka dan kemudiannya diadaptasi mengikut kesesuaian.

“Sebab itu lagu-lagu yang dimainkan bersama Rebana Perak bersifat ketuhanan berdasarkan syair dan hadis atau matan teks yang dipetik dari kitab Maulud Syariful Anam yang berkisar mengenai pujian kepada Allah serta Rasul.

Rebana Perak mempunyai saiz, talaan dan bahan pembuatan tersendiri. Kulit lembu atau kerbau dipadankan dengan kayu halban, nangka atau kayu sungai, menjadikan setiap rebana unik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Ia menjadi hiburan kepada baginda Sultan Perak yang sering mudik di Sungai Perak bagi menyantuni rakyat jelata dan pedagang dari tanah Arab yang turut sama menyertai rombongan baginda,” katanya.

Kayu halban, kulit lembu hasilkan Rebana Perak

Ditanya mengenai pembuatan Rebana Perak Mohd Sapri berkata, kebanyakkan alat muzik tradisional itu menggunakan kayu halban memandangkan ketahananannya.

Katanya, selepas pokok halban ditebang, kayunya akan dikeringkan dengan kaedah menjemur di bawah cahaya matahari selama seminggu atau sehingga air di dalam kayu berkenaan kering sepenuhnya.

“Selepas kayu halban kering kita akan memulakan proses memasang kulit rebana yang mana kebiasaannya kita gunakan kulit lembu.

“Jadi proses untuk menyiapkan sebiji Rebana Perak kebiasaannya mengambil masa dalam seminggu namun bergantung kepada keadaan cuaca sekiranya panas,” katanya.

Pembuat rebana Perak, Mohd Sapri Bahari, 70, telah mendedikasi hidupnya lebih 38 tahun dalam memastikan alat muzik rebana Perak ini kekal serta dikenali generasi selepasnya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Mohd Sapri berkata, seiiring dengan peredaran masa penghasilan Rebana Perak kini mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu bagi sebiji rebana berbanding hampir setahun satu masa ketika dahulu.

Katanya, ini kerana kerana masyarakat zaman dahulu akan merendam kayu halban sekurang-kurangnya enam bulan sebelum dijemur dan dipasang kulit lembu.

“Masa itu mungkin kerana kekurangan peralatan seperti ini maka kayu halban akan direndam berbulan lamanya sebelum dijemur dan dipasang kulit lembut.

“Jadi sebab itu dahulu untuk dapatkan sebiji rebana amatlah sukar kerana prosesnya bukanlah mudah berbanding sekarang,” katanya.

Kelas percuma di bengkel bagi yang ingin belajar Rebana Perak

Bagi memastikan Rebana Perak tidak hilang ditelan zaman dan terus dimartabatkan teruatamanya dalam kalangan generasi muda, Mohd Sapri mengadakan kelas di bengkelnya kepada mereka yang berminat.

Beliau bekata, kelas rebananya itu diadakan setiap Jumaat bermula jam 3 hingga 6 petang secara percuma.

Pembuat rebana Perak, Mohd Sapri Bahari, 70, menggunakan kulit lembu atau kerbau dipadankan dengan kayu halban, nangka atau kayu sungai, menjadikan setiap rebana Perak unik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 SEPTEMBER 2025.

“Saya sekarnag merupakan usahawan Rebana Perak dan pada masa sama saya juga penggiat Rebana Perak dala Kuala Kangsar.

“Jadi saya sentiasa terbuka untuk berkongsi ilmu kepada mereka yang minat mempelajarinya dan seminggu sekali saya akan mengadakan kelas percuma di bengkel,” katanya.

Tambahnya, dia juga turut menerima undangan daripada pelbagai pihak termasuklah jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi ceramah atau bengkel mengenai Rebana Perak. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI