KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri secara rasminya telah mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang baharu hari ini.
Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Perak telah dilantik untuk memimpin jawatan di Bukit Aman itu menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang memangku jawatan Pengarah JSPT selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri sejak 8 April lalu.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat telah diadakan di ibu negara dengan disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi.
Razarudin dalam ucapannya menyatakan keyakinan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimiliki Mohd Yusri akan memacu JSPT ke arah perkhidmatan cemerlang serta berintegriti tinggi.
“Seluruh pucuk pimpinan pasukan PDRM meletakkan harapan tinggi kepada Pengarah JSPT untuk memastikan jabatan ini sentiasa berada pada tahap dan landasan yang betul untuk mengekalkan momentum pencapaian cemerlang.
“Saya berharap Datuk Seri (Mohd Yusri) sentiasa peka dan cakna terhadap hal kebajikan termasuk keperluan penugasan warga JSPT di lapangan terutama dari aspek logistik, peralatan, kemahiran serta latihan.
“Adanya keseimbangan keperluan tugas dan kebajikan, ia akan mengaspirasikan JSPT ke arah jabatan lebih unggul, mampan dan holistik dalam menjamin kesejahteraan pengguna jalan raya,” katanya di majlis serah terima tugas jawatan tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dlam perkembangan sama, Razarudin turut menambah, JSPT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di negara ini khususnya di bandar utama semasa waktu puncak juga sewaktu musim perayaan.
Selain itu, JSPT juga memainkan peranan penting mendidik masyarakat mengenai cara pemanduan berhemah dan selamat bagi mengelak kemalangan di jalan raya dan kehilangan nyawa tidak berdosa. – MalaysiaGazette