SITIAWAN – Kerajaan Negeri Perak akan memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyegerakan kelulusan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Ayer Tawar, di sini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, ia selepas bangunan lama sekolah berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran pada Isnin.
Menurut Sivanesan, bangunan baharu sekolah itu siap dibina pada pertengahan 2023 dan kini sedang menunggu keluluskan CF bagi kebenaran mendudukinya.
“Kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk dibawa kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bagi mempercepatkan proses kelulusan CF bangunan baharu ini.
“Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan dan pembinaanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi saya fikir kelulusan bukan satu masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau situasi SJKT Ladang Ayer Tawar yang musnah hampir 70 peratus akibat kebakaran, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, semua 32 murid yang terjejas akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga tamat penggal akhir sesi pembelajaran 2024 iaitu pada 17 Januari 2025.
Jelas beliau, seramai 13 guru akan kendalikan pelaksanaan PdPR bagi sesi persekolahan yang berbaki lapan hari lagi
“Timbalan Menteri Pendidikan maklumkan sesi pembelajaran pelajar-pelajar ini tidak terjejas dan pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berbincang untuk mengendalikannya.
“Hari ini kesemua murid terima cuti dan keesokkan harinya (Rabu) semua pelajar akan menjalani sesi pembelajaran di rumah dengan guru-guru akan menyediakan bahan pembelajaran manakala ibu bapa akan ambil bahan tersebut sehinggalah 17 Januari depan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan SJKT Ladang Ayer Tawar di Sitiawan musnah 70 peratus dalam insiden kebakaran pagi semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran itu melibatkan tiga buah kelas, sebuah makmal sains, sebuah stor peralatan dan kantin. -MG Perak
Artikel Berkaitan: