Moratorium 6 bulan untuk PMKS terjejas banjir, dana pembiayaan dinaikkan

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menawarkan moratorium enam bulan tanpa faedah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya yang baharu, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu antara tiga tindakan segera yang dibuat pada hari pertama beliau memulakan tugas selepas mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian.

Menurut beliau, moratorium berkenaan melibatkan pinjaman daripada tujuh agensi di bawah kementeriannya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp Malaysia, Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Langkah ini diambil bagi meringankan beban aliran tunai PMKS dan koperasi yang terkesan akibat bencana banjir serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Sim turut mengumumkan peningkatan peruntukan dana pembiayaan bagi memperkasakan usahawan merentas semua kaum.

Dana pembiayaan bumiputera di bawah Tekun Nasional akan dinaikkan daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.

Selain itu, pembiayaan untuk usahawan India menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta, manakala satu skim pembiayaan baharu khusus untuk PMKS masyarakat Cina berjumlah RM50 juta akan dilancarkan pada Januari tahun depan.

Beliau menegaskan, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kuskop dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan seimbang.

Dalam mesyuarat sama, Sim berkata, pengurusan tertinggi Kuskop telah diarahkan supaya menyemak semula semua proses, prosedur serta kos yang melibatkan pemegang taruh khususnya PMKS dan koperasi.

“Penambahbaikan ini termasuk pengurangan tempoh masa dan kos pemprosesan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI