MOT tawar kompaun khas RM150 termasuk saman AWAS – Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menawarkan bayaran kompaun khas dengan kadar rata sebanyak RM150 selama enam bulan, bermula esok hingga 30 Jun 2025.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kompaun khas itu ditawarkan kepada tiga jenis kesalahan termasuk saman sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS-Saman 53A), 114 (Notis Temu Siasat) dan 115 (Notis Saman Tampal/JPJ(P)23).

“Saman AWAS melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju. Ketiga-tiga notis ini biasanya kadar kompaun biasa RM300.

“Jadi kita beri kadar kompaun khas selama enam bulan, bermula 3 Januari untuk mereka menyelesaikan kompaun tertunggak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Putrajaya di Galeria PJH, di sini.

Menurut Loke, bagi kesalahan di bawah AWAS, sebanyak 2 juta saman direkodkan masih tertunggak sejak enam tahun lalu.

“Bagi notis AWAS sahaja kita ada sebanyak 2 juta saman yang tertunggak sejak 2018 hingga sekarang.

“Ketika itu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH), saya selaku Menteri Pengangkutan, kita memansuhkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum digantikan dengan AWAS,” katanya.

Selain itu, katanya, kadar kompaun khas itu hanya ditawarkan kepada orang awam yang membuat bayaran melalui kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ dan Aplikasi myJPJ sahaja.

“Bagi saluran aplikasi myJPJ, pembayaran mula dibuka pada 2 Januari 2025. Tiada tawaran pembayaran kompaun khas melalui saluran MyEG,” katanya.

Katanya, tiada pengumpulan mata demerit mulai 3 Januari hingga 30 Jun 2025 yang mana dalam tempoh ini Bahagian Penguatkuasa akan membuat kajian semula berhubung kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.

“Kegagalan orang awam mengambil peluang ini akan mengakibatkan berlaku sekatan urusniaga selepas tempoh tawaran pembayaran khas kompaun yang akan dilaksanakan oleh pihak JPJ,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI