PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) sepatutnya mengemukakan cadangan balas mengenai draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk pembangkang sekiranya mendakwa ia terlalu ketat.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, PH itu menolak tanpa memberikan cadangan untuk pertimbangan kerajaan.
Sebaliknya beliau berkata, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengemukakan cadangan balas berhubung draf MoU berkenaan.
“Setakat ini saya tidak menerima cadangan balas. Memang kita sudah kemuka (terma dan syarat) malahan saya sudah paparkan kepada media apa bentuk MoU. (Jadi) semua rakyat mengetahuinya.
“Kalau tidak bersetuju PN boleh kemukakan cadangan balas. Tapi apa yang berlaku mereka menolak bulat-bulat dan mengatakannya terlalu ketat.
“Bagi saya (pada) permulaan kita berundinglah dan (pada waktu itu) boleh kemukakan cadangan balas, kalau dapat dimuktamadkan (boleh) kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Program Ihya’ Ramadhan Bersama Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, rundingan MoU peruntukan bukan perkara baharu malah pernah dilakukan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
“Waktu saya dalam kerajaan bersama Tan Sri Muhyiddin, memang ada rundingan dengan kerajaan (mengenai peruntukan pembangkang) dengan syarat-syarat yang akhirnya dipersetujui dan ditandatangani,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Fadillah menyifatkan, draf MoU yang disediakan kerajaan tidak ketat seperti yang didakwa oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Kita hanya tahu dari media tapi bagi kita tidak ketat. Kalau dikatakan ketat, apa? Apa cadangannya kalau ditolak tidak ada cadangan apa nak dibincang?
“Kalau ada cadangan balas saya akan bawa ke peringkat seterusnya dan boleh panggil mereka,” ujarnya.
Pagi tadi, Perdana Menteri menegaskan, ruang untuk pembangkang berunding mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen mereka masih terbuka.
Justeru, beliau mempersoalkan tindakan pembangkang yang masih berbuat “bising” di luar tanpa mengambil inisiatif untuk bermesyuarat mengenai isu peruntukan itu dengan kerajaan.
Beliau berkata demikian susulan daripada kenyataan Muhyiddin semalam yang mendakwa PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Muhyiddin mendakwa, syarat yang ditetapkan dalam MoU itu adalah luar biasa dan ketat, seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.- MalaysiaGazette