MPKK ambil langkah proaktif tangkap merpati liar ganggu penduduk

KUALA KANGSAR – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bertindak melaksanakan Operasi Tangkapan Burung Merpati di sekitar Liman Kati, di sini, hari ini susulan aduan penduduk yang tidak tahan dengan gangguan serta bau busuk najis unggas berkenaan di kawasan tersebut.

Setiausaha Perbandaran, Saiful Azli Mohamed Nor berkata, operasi kali ketiga yang dilaksanakan di Kampung Baru Liman Kati dan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Liman Kati itu turut disertai Pejabat Veterinar Daerah Kuala Kangsar.

Menurutnya, masalah burung merpati liar semakin serius tahun ini apabila didapati membiak secara tidak terkawal di kawasan kediaman berikutan ada pihak yang memberi makanan kepada unggas tersebut.

MPKK ambil langkah proaktif tangkap merpati liar ganggu penduduk
Setiausaha Perbandaran, Saiful Azli Mohamed Nor menjawab pertanyaan media pada operasi tangkapan burung merpati liar di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Liman Kati, Kuala Kangsar, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 MEI 2025.

“Kita mempunyai dua kaedah operasi iaitu secara rutin berkala dan juga aduan yang diterima daripada orang awam.

“Dalam bulan ini sahaja, sudah tiga kali kita turun, dan burung merpati paling banyak ditangkap, lebih 100 ekor setakat ini.

“Selain itu, dalam operasi sebelum ini, kita turut menangkap beberapa ekor anjing dan lebih 20 ekor kucing yang berkeliaran tanpa pemilik sah,” katanya ketika ditemui di RPA Liman Kati, pada Jumaat.

Beliau berkata, kehadiran merpati bukan sekadar ganggu dengan najis, malah boleh membawa penyakit yang melibatkan sistem pernafasan dan paru-paru.

MPKK ambil langkah proaktif tangkap merpati liar ganggu penduduk
Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) memasukkan burung merpati liar ke dalam sangkar selepas berjaya ditangkap semasa operasi tangkapan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Liman Kati, Kuala Kangsar, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 MEI 2025.

“Semua haiwan yang ditangkap akan disimpan selama tiga hari sebelum dilepaskan di tapak pusat pelupusan sampah di Salak atau diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan,“ jelasnya.

Mengulas mengenai tindakan undang-undang, beliau menegaskan, sesiapa yang memberi makanan kepada burung merpati di kawasan awam boleh dikenakan kompaun RM250 mengikut peruntukan yang ditetapkan.

“Kita boleh keluarkan kompaun. Tapi pendekatan kita bukan nak hukum, sebaliknya nak didik masyarakat. Kita akan nasihat dahulu, dan kalau masih berdegil, baru tindakan lebih tegas akan diambil,” ujarnya.

MPKK ambil langkah proaktif tangkap merpati liar ganggu penduduk
Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) melempar jaring khas ke arah kumpulan burung merpati liar dalam operasi tangkapan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Liman Kati, Kuala Kangsar, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 MEI 2025.

Dalam pada itu, Saiful Azli turut mengingatkan pemilik haiwan supaya mendapatkan lesen anjing yang sah serta tidak membela haiwan eksotik seperti burung tanpa kelulusan pihak berwajib.

“Kalau bela seekor dua (burung) di rumah dan ada lesen, kita tak kacau. Tapi bila dah sampai tahap ternak dan menimbulkan gangguan awam, itu satu kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan orang ramai yang ingin membuat aduan berkenaan gangguan haiwan liar boleh melakukannya melalui saluran rasmi seperti sistem SISPA (Sistem Pelaporan Aduan), emel, surat atau terus ke pejabat MPKK.

“Kita akan bertindak atas semua aduan yang berasas dan mengikut bidang kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus usul wujudkan peraturan kawal haiwan berkeliaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI