MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama WastetoWealth Holdings (M) Sdn. Bhd, pada Selasa, sebagai usaha memperkukuh amalan kitar semula di daerah ini.’
Dalam satu kenyataan MPM memaklumkan, MoU yang berkuat kuasa selama setahun itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak pelbagai inisiatif berkaitan kelestarian alam sekitar.
Katanya, ia termasuk penyediaan mesin kitar semula pandu lalu yang dikenali sebagai Pusat Kitar Semula Pandu Lalu atau Automatic Drive-Thru Recycling Centre (ADTReC).
“Mesin ini akan memudahkan proses kitar semula bagi penduduk setempat serta meningkatkan kadar pengumpulan bahan kitar semula di daerah Manjung.
“Di Manjung, satu unit ADTReC telah pun ditempatkan di Pekarangan Masjid Haji Isa, Batu 8 Lekir dan telah dirasmikan pada 11 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu MPM berkata, program pembudayaan amalan kitar semula, Trash4Cash turut diperkenalkan sebagai aktiviti bulanan kakitangan.
Jelasnya, melalui inisiatif itu, semua kakitangan MPM diminta untuk mendaftarkan diri sebagai peserta Trash4Cash, membawa bahan kitar semula setiap bulan serta menerima bayaran berdasarkan kategori dan berat bahan kitar semula yang dihantar.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap kelestarian alam sekitar, MPM juga bercadang untuk membeli sebuah mesin ADTREC tambahan bagi kegunaan masyarakat di Manjung.
“Melalui mesin itu, MPM yakin jumlah kutipan data bahan kitar semula dapat ditingkatkan, sekali gus menyokong usaha ke arah pembangunan bandar hijau dan lestari menjelang 2030,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: