IPOH – Pengusaha aktiviti rekreasi di air diminta untuk menghentikan sementara sebarang kegiatan riadah sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ia dikhuatiri kejadian kepala air berlaku dan secara tidak langsung mengancam keselamatan serta nyawa pengunjung.
“Apabila kita keluarkan senarai lokasi titik panas kepala air, ada yang tidak senang. Tetapi dalam musim cuaca tidak menentu ini, orang ramai terutama pengusaha aktiviti di air diminta untuk hentikan sementara kegiatan mereka sehingga MTL selesai.
“Sekiranya berlaku perkara tidak diingini, masing-masing akan cuba mencari salah, sedangkan peringatan awal telah diberikan. Sepatutnya semua kena berwaspada agar tidak berlaku kejadian meragut nyawa.
“Ini kerana pengunjung akan mempercayai pengendali aktiviti rekreasi air, apabila dikatakan keadaan selamat, pengunjung akan menganggap ia situasi selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Sekalung Budi Pesara-Pesara JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri di Meru, dekat sini, pada Khamis.
Pada masa sama Sayani turut meminta agar orang ramai untuk turut peka dan mengambil langkah berwaspa sepanjang tempoh MTL ini dengan tidak melakukan sebarang aktiviti riadah seperti berkelah berhampiran dengan kawasan air.
Jelas beliau, kejadian yang berlaku di Sungai Jahang, Gopeng sehingga meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seorang wanita di Sungai Air Beruk, Gerik dalam tempat terdekat wajar dijadikan sebagai iktibar.
“Disember depan akan bermula cuti sekolah, dan saya percaya ramai ibu bapa akan bawa anak-anak mereka untuk pulang ke kampung.
“Dalam kita hendak memeriahkan suasana kekeluargaan itu, cuba elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti berkaitan air,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Sayani memberitahu, JBPM Perak telah mengenal pasti 21 lokasi kepala air seluruh negeri ini merangkumi yang lima daerah iaitu di Kinta, Kampar, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selamat serta Hulu Perak.
Kata beliau, antara lokasi terbabit termasuk Lata Kekabu di Hulu Perak, Burmese Pool Bukit Larut di Larut Matang dan Selama, Air Terjun Batu Hampar di Kuala Kangsar, Kledang Saiong dan Sungai Jahang di Kinta serta, Air Terjun Batu Berangkai dan Sungai Dipang di Kampar.
Titik panas kepala air itu ditetapkan berdasarkan statistik kejadian kepala air yang sering berlaku serta meragut nyawa pengunjung ataupun penduduk setempat di kawasan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga kakitangan JKR lemas: Polis rakam percakapan 19 individu