KUALA LUMPUR – Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin menyifatkan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa kementeriannya sedang mempertimbangkan cadangan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai satu isyarat yang membimbangkan.
Katanya, kenyataan yang dibuat di Parlimen semalam itu memperlihatkan seolah-olah Kementerian Pengangkutan, termasuk menteri, timbalan menteri, Ketua Setiausaha dan kakitangannya tidak menunjukkan kesungguhan dalam agenda keselamatan jalan raya.
Menurut Shahrim, cadangan membentuk MTSB bukanlah perkara baharu kerana usaha pembentangan dan mekanisme penubuhannya telah bermula sejak Januari 2014 berikutan tragedi nahas bas Genting Highlands yang meragut 37 nyawa, jumlah korban tertinggi dalam sejarah kemalangan jalan raya negara.
“Pada 29 Januari 2014, Pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan MTSB akan ditubuhkan, dan pada 21 Februari 2014 beliau menyatakan skopnya akan diperluaskan kepada siasatan nahas udara. Setahun kemudian, Tan Sri Liow Tiong Lai mengesahkan badan berkanun itu di peringkat akhir penubuhan,” katanya.
Shahrim turut mempersoalkan apakah yang telah berlaku kepada semua kertas cadangan dan rangka kerja mengenai penubuhan MTSB dalam tempoh 11 tahun yang lalu oleh pelbagai panel bebas dan MIROS? Mengapakah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan tidak cakna fail-fail perancangan ini sejak 10 tahun kebelakangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Panel Semakan Syor (RRP) pada 2018 yang dibentuk selepas tragedi Genting dan dipengerusikan bersama oleh bekas Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye, telah memberi penekanan jelas kepada Anthony Loke bahawa MTSB harus menjadi agenda penting kementerian.
“Saya menggesa dan merayu kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian agar bersikap serius dalam menyelamatkan nyawa di jalan raya, bukan hanya bertindak selepas berlakunya nahas besar. Mereka perlu proaktif dalam polisi dan perancangan,” tegasnya.
Shahrim juga menyeru agar MTSB segera ditubuhkan kerana perbincangan, pembentangan dan kertas kerja telahpun disediakan oleh MIROS serta pakar-pakar berkaitan sejak 11 tahun lalu.
Di Dewan Rakyat, Loke berkata cadangan penubuhan MTSB sebagai badan khas untuk menyiasat kemalangan jalan raya akan dipertimbang semula.
Perkara itu katanya susulan syor pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan serta kemalangan bas persiaran membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak. – MalaysiaGazette