IPOH – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) memberi tumpuan kepada usaha memastikan kebajikan ahlinya terus terbela, terutama selepas tidak lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ini kerana tidak semua bekas wakil rakyat mempunyai yang benar-benar pendapatan stabil selepas mereka bersara daripada dunia politik.
Katanya, bayaran bulanan yang diterima mereka juga tidak sama dengan skim pencen persaraan bagi mana-mana penjawat awam lain.

“Bukan semuanya ahli politik ini ada latar belakang korporat. Ada yang asalnya seorang guru, bekas tentera, ada juga yang masuk politik tanpa pencen tetap. Ada ketika ini juga bekas wakil rakyat yang sekarang buat teh tarik atau bawa teksi.
“Jadi MUBARAK harus ambil alih peranan untuk membantu membaiki kedudukan mereka terutama dari segi kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak Malaysia Kali Ke-22 dan Pelancaran Buku Tokoh Mubarak di Hotel Kinta Riverfront and Suites, dekat sini, pada Rabu.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta dihadiri Pemangku Yang Dipertua MUBARAK Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir.
Menurut Abdul Aziz, antara usaha yang sedang digerakkan MUBARAK adalah melalui pembinaan sebuah bangunan setinggi enam tingkat melalui Yayasan MUBARAK yang sedang disiapkan di Sentul, Kuala Lumpur.
Kata beliau, projek yang dijangka siap pada penghujung tahun ini itu bakal menjana pendapatan sewa sekitar RM50,000 sebulan dan menjadi salah satu sumber dana kepada majlis.
“Apabila bangunan siap nanti, ia akan memberi sumber kewangan tetap kepada kita yang mana hasil sewaan itu akan kembali kepada kebajikan ahli.
“Kita tidak mahu bergantung kepada kerajaan sahaja. Kita cari punca sendiri untuk menampung keperluan kebajikan,” katanya.

Justeru kata beliau, MUBARAK membuka penyertaan bekas wakil rakyat tanpa mengira latar belakang parti politik selepas berlaku landskap politik selepas 2018.
Abdul Aziz berkata, kini majlis itu lebih bersifat neutral yang memfokuskan kepada soal kebajikan, pembangunan masyarakat serta perkongsian pengalaman, dan bukan medan persaingan ideologi.
“Sebelum ini orang ingat MUBARAK ini ‘BN (Barisan Nasional) sahaja’. Sekarang tidak, yang mana kita menerima semua bekas wakil rakyat. Kita tak mahu lagi pertelingkahan politik dalam platform ini.
“Namun, masih ramai (tokoh politik veteran) yang takut masuk MUBARAK sebab risau tidak dicalonkan semula (pada pilihanraya. Itu salah, kerana ramai ahli kita yang pernah menjadi calon dan menang semasa masih bersama MUBARAK,” katanya lagi.

Mengulas tentang Buku Tokoh Mubarak, Abdul Aziz memaklumkan, buku setebal 264 muka surat itu merakamkan 19 tokoh pelbagai kaum, termasuk pengasas, veteran negeri serta bekas wakil rakyat yang telah meninggal dunia.
Buku tersebut dihasilkan 16 penulis yang terdiri daripada pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan edisi kedua bakal diterbitkan selepas ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


