IPOH – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) akan mengemukakan usul kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempertimbangkan pelaksanaan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia.
Presidennya Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ini kerana pihaknya mendapati wujud jurang yang ketara dari segi jumlah pengundi antara negeri-negeri di Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak.
Katanya, situasi itu dilihat menimbulkan situasi ketidakseimbangan daripada sudut beban tanggungjawab wakil rakyat di sesuatu kawasan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

“Kita dapati di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, satu-satu kawasan Parlimen itu sudah mencecah 100,000 pengundi. Sebaliknya, kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak pula puratanya sekitar 63,000 sahaja.
“Oleh itu kita mahu (mencadangkan) agar dapat ditambah kawasan parlimen khususnya di luar bandar bagi memberi pembelaan kepada pengundi sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak Malaysia Kali Ke-22 dan Pelancaran Buku Tokoh Mubarak di Hotel Kinta Riverfront and Suites, dekat sini, pada Rabu.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta dihadiri Pemangku Yang Dipertua MUBARAK Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir.
Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, usul itu dibawa secara rasmi pada perhimpunan tersebut sebelum dikemukakan kepada SPR sebagai cadangan memperhalusi cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu.

Malah kata beliau, usul sama turut akan dibawa ke kongres anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur pada 13 Disember ini.
“Negara lain seperti Australia sudah lama memberikan kelebihan ini iaitu kawasan yang kurang populasi tetapi luas, diberikan juga kawasan Parlimen.
“Jadi kita juga patut kembali menilai perkara ini. Garis panduan SPR sendiri menunjukkan kawasan luar bandar sepatutnya berada pada nisbah 60,000 hingga 70,000 pengundi bagi satu kerusi Parlimen,” jelas beliau,
Tambah Abdul Aziz, usul bagi kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diutarakan bukan bertujuan politik sebaliknya ia adalah usaha dalam memastikan wakil rakyat dalam memberi tumpuan yang lebih efektif kepada keperluan pengundi.
“Jangan ingat apabila ada banyak kawasan Parlimen yang didominasi orang Melayu, maka ia akan dikawal oleh parti politik tertentu seperti PAS dan sebagainya.
“Tidak boleh berfikiran begitu kerana kenyataan hakikatnya adalah kawasan itu boleh diwakili sesiapa pun dan terpulang kepada pengundi untuk menentukan wakil rakyat mereka,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Urusan pilihan raya tanggungjawab SPR, parti politik hanya rujukan – Saarani


