KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan duit kerajaan dan bukan juga dana kecemasan negara, sebaliknya ia adalah simpanan rakyat untuk hari tua mereka.
Itu kenyataan tegas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Rashifa Aljunied yang membantah cadangan kerajaan untuk membenarkan Akaun 2 KWSP digunakan bagi membayar insurans kesihatan.
Katanya, meskipun Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa inisiatif itu bukan paksaan namun MUDA berpendapat ia masih tidak boleh dilaksanakan di negara ini.
“YB Menteri mungkin lupa, hanya empat peratus rakyat Malaysia mempunyai simpanan KWSP untuk hidup bermaruah selepas mereka bersara. Hanya separuh rakyat Malaysia umur 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan KWSP mereka.
“RM50,000 cukup untuk apa? Makan? Sewa? Ubat? Itupun hanya cukup untuk hidup 4-5 tahun, dalam keadaan kos sara hidup dan harga barang makin melambung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, KWSP tidak seharusnya dijadikan talian hayat setiap kali kerajaan berdepan dengan masalah.
“Bila kerajaan gagal sediakan perlindungan kesihatan menyeluruh, jangan alih beban itu ke bahu rakyat.
“Semua orang mahu perlindungan kesihatan. Tetapi kalau sistem kesihatan awam dah semakin tenat, cari solusi untuk hidupkan semula hospital dan klinik kesihatan negara,” katanya lagi.
Semalam, Dr Dzulkefly memberitahu, jika Akaun 2 KWSP dibenarkan untuk membiayai insurans, 16 juta ahli kumpulan wang persaraan itu berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman mereka.
Katanya, pendekatan yang dicadangkan itu diguna pakai beberapa negara lain yang mahu majoriti rakyat mendapat perlindungan insuran sewajarnya.
Ini memandangkan 32 peratus kos jumlah penjagaan kesihatan di negara ini, didapati dibayar sendiri pesakit bukan dilindungi insuran. -MalaysiaGazette