SUBANG – Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris hari ini dilantik sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) ke-21.
Pelantikan beliau adalah untuk menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih empat dekad bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pelantikan tersebut disempurnakan pada Upacara Serah Terima Tugas dan Tonggak Kuasa Panglima Tentera Udara yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang.
Majlis turut menyaksikan Upacara Pemakaian Pangkat Jeneral kepada Muhamad Norazlan, disempurnakan oleh isterinya serta Mohd Asghar Khan, dan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Turut diadakan Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara ke-20 sebagai penghormatan kepada Asghar Khan atas sumbangan dan khidmat bakti beliau.
Muhamad Norazlan, 58, berasal dari Kota Tinggi, Johor, memulakan latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja pada 1985 dan menyertai TUDM pada 1988.
Beliau berpengalaman menerbangkan pesawat pejuang seperti Aermacchi MB339A, A-4PTM Skyhawk, MiG-29N/UB dan Sukhoi Su-30MKM. – MalaysiaGazette