KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak memanggil mesyuarat Perikatan Nasional (PN) apabila berlaku pergolakan Kerajaan Negeri Perlis.
Beliau berkata, akibatnya Bersatu dan Pas mengemukakan nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerusi surat secara berasingan.
“Saya tegaskan bahawa apa yang berlaku adalah lambang kegagalan Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan beliau mesti bertanggungjawab.
“Kenapa Muhyiddin tidak panggil mesyuarat PN untuk menentukan calon MB PN? Kenapa Bersatu hantar surat lain, Pas pula hantar surat lain
“Kenapa tidak ada mesyuarat PN yang khusus membincangkan situasi Perlis yang telah kita maklumi berlanjutan sudah berbulan-bulan?
“Sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin sepatutnya segera memanggil mesyuarat sebaik sahaja ada gelora yang dikesan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Pada 26 Disember, Bersatu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh); dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Langkah itu dibuat selepas penyandang Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya atas masalah kesihatan pada 25 Disember.
Selain itu, kata Wan Saiful, kegagalan Muhyiddin itu memberi impak negatif amat besar kepada PN sehingga ada yang mencadangkan Pas meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
“Sehingga ke hari ini, Muhyiddin belum panggil mesyuarat, seolah-olah beliau tak peduli pun apa yang berlaku. Sedang seronok di England agaknya,” katanya.
Selain itu, kata Wan Saiful, kelemahan Muhyiddin sebenarnya disedari banyak pihak sejak tahun lepas lagi.
“Saya telah dedahkan sejak Disember 2024 lagi, Pas telah menulis surat kepada Muhyiddin mencadangkan beberapa pembaikan yang signifikan terhadap PN.
“Tetapi tiada apa-apa tindakan diambil walaupun kelemahan telah dikenal pasti,” katanya.
Selain itu, kata Wan Saiful, cadangan sesetengah pihak untuk Pas meninggalkan PN adalah tidak betul.
“Janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah, tetapi kemudian memilih cara yang memecahkan kesatuan sedia ada.
“Lebih baik Pas mengambil alih kerusi Pengerusi PN dan laksanakan pembaikan-pembaikan yang dicadangkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, parti komponen PN seperti Gerakan harus menerima Pas sebagai pengerusi gabungan itu dengan hati terbuka.
“Saya sedar ada kebimbangan dalam kalangan parti komponen PN bukan Melayu. Tapi jika disusun dengan baik, kebimbangan itu boleh diuruskan. Kita mesti ingat, Pas bukan parti budak-budak. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Setelah itu, laksanakanlah apa yang perlu untuk menghidupkan semula MN bagi membolehkan semua pihak, termasuk badan-badan bukan politik, juga bersatu dalam agenda yang sama. Itu penyatuan sebenar,” katanya.
Katanya lagi, beliau mengutarakan cadangan untuk Pas mengambil alih Pengerusi PN sudah lebih setahun namun ia dipendam dan tiada tindakan.
“Saya harap Pas tidak meneruskan pendekatan ini. Pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Jika pertukaran dilakukan lebih awal, mungkin saja krisis Perlis dapat dielakkan.
“Ini kerana budaya musyawarah Pas jauh lebih baik berbanding budaya ‘aku berkuasa untuk bagi arahan’ yang diamalkan Muhyiddin sejak setahun dua ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


