IPOH – MCA diminta untuk tidak mempolitikkan isu sekatan jualan arak di Bandar Raya Ipoh dengan mewujudkan sentimen tidak sihat demi meraih sokongan masyarakat bukan Melayu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu sepatutnya tidak perlu memutar belit kenyataan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berhubung perkara berkenaan untuk selera politik sempit.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak memberitahu, MCA sebaliknya perlu bersaing secara sihat dan bukan mengeksploitasi isu sensitif seperti dalam soal penjualan arak.
“MCA diingatkan janganlah kerana hendak membuktikan mereka ‘lebih berani dari DAP dalam hal arak ini’, menjadikan isu penjualan arak sebagai pertaruhannya.
“Ini kerana ia berisiko menggugat keseluruhan segmen masyarakat berbagai kaum dan agama di Perak ini.
“Banyak lagi isu lain yang boleh dikritik untuk membangunkan Negeri Perak di bawah dasar Perak Sejahtera 2030,” katanya melalui hantaran pada laman Facebook, pada Rabu.
Tambah beliau, sebagai anggota dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, MCA seharusnya menyatukan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama di negeri ini melalui nilai politik inklusif serta progresif, dan memahami sensitiviti semua kaum serta agama.
Menurut Mujahid, beliau mengajak parti itu untuk sama-sama menangani isu ketagihan arak yang lebih parah dalam masyarakat ketika ini daripada memetik isu penjualan arak demi meraih sokongan politik dalam persaingan segmen pengundi.
Pada 18 Januari lalu, media melaporkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Manjoi sebelum ini.
Rumaizi dilaporkan berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian berhubung perkara itu sekiranya terdapat tuntutan penduduk di kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman itu dikuatkuasakan .
Bagaimanapun Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung mempersoalkan kenapa pemimpin DAP dan PKR menafikan sedangkan ia disahkan oleh Datuk Bandar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sekatan jualan arak: MCA perlu hormat sensitiviti umat Islam
MBI bakal laksana larangan jual arak di kawasan majoriti muslim di Ipoh