TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, bukanlah nama asing bagi penduduk sekitar, khususnya dalam dunia pendidikan.
Beliau dikenali antara tenaga pengajar dihormati yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti sekitar 90-an, di sini.
Tiga dekad berlalu, nama Ustaz Yusri masih meniti di bibir rakan-rakan lamanya sebagai seorang guru berdedikasi dan berjiwa rakyat.
Menurut Mohd Nor Bahari Baharudin, 58, yang pernah menjadi rakan sejawatnya, Ustaz Yusri seorang individu yang memiliki memori kuat dan mudah bergaul, walaupun tampak serius pada raut wajah.

“Dia boleh ingat nama anak orang, nombor kereta, latar belakang kawan-kawan. Daya ingatannya memang luar biasa.
“Orangnya juga mesra, walaupun nampak macam garang,” katanya ketika ditemui dalam satu program komuniti di Tapah Road, di sini.
Katanya, rakannya itu sering digelar ‘ustaz’, bukan sahaja kerana mengajar Pendidikan Islam, malah kerana latar belakang keluarganya yang teguh dalam pegangan agama.
Dia turut berkongsi kenangan lucu bersama Ustaz Yusri termasuk insiden mereka tiba lewat ke masjid sehingga tertinggal rakaat pertama solat Jumaat.
“Kami memang rapat dari dulu sampai sekarang. Setiap kali raya, kami akan berkumpul. Kalau Ustaz Yusri lapang, dia mesti datang. Dia tak pernah lupakan kawan-kawan,” tambahnya.
Mohd Nor berkata, pemilihan Ustaz Yusri sebagai calon BN disambut dengan rasa bangga oleh rakan-rakannya malah merek percaya beliau mempunyai kredibiliti untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Kami tak terkejut bila nama dia diumumkan. Memang dari dulu nampak dia ada ciri-ciri pemimpin,” katanya.
Bekas guru dan pensyarah berusia 54 tahun itu kini menjadi taruhan BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Ustaz Yusri (BN), Abd Muhaimin Malek (PN), dan Bawani KS (PSM). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri disenangi masyarakat Orang Asli