SENTUL – Seorang murid sekolah rendah yang didenda berdiri hampir tiga jam di bawah matahari terik dalam kejadian yang tular baru-baru ini bakal memegang status orang kelainan upaya (OKU).
Pengerusi Malaysia Indian Action Force (MIAForce), Dayalan Sreebalan yang menjadi jurucakap keluarga kanak-kanak itu berkata, murid 11 tahun itu mengadu kepalanya sakit dan matanya merah kepada ibunya semasa dijemput pulang dari sebuah sekolah di Ampang, Selangor.
Menurut beliau, mangsa memaklumkan dia dijemur selepas dibaling botol oleh tiga rakan sekelasnya lalu mengadukan kejadian berkenaan kepada guru.
“Kami difahamkan, guru berkenaan memanggil mangsa dan tiga lagi rakannya lalu mengarah mereka berdiri di luar kelas. Ketika itu cuaca panas.
“Bagaimanapun, tiga rakannya dipanggil masuk (kelas) tetapi mangsa masih berdiri di luar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalayan menambah, susulan kejadian itu, murid tahun lima itu telah diserang sawan buat pertama kali dalam hidupnya.
“Ibu bapa mangsa yang panik dengan keadaan anak mereka telah bergegas ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan segera.
“Mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang kerana ketika dibawa suhu kepala mangsa mencecah 40 darjah Celcius. Doktor mengesahkan kanak-kanak ini diserang stok haba.
Mangsa telah koma dan dirawat di hospital selama lima hari itu turut diberi rawatan psikiatri oleh Hospital Ampang.
Dakwa beliau, berdasarkan laporan psikiatri, mangsa rupa-rupanya adalah mangsa buli oleh rakan-rakan sekelasnya.
Dia bukan setakat dibaling botol tetapi kepalanya pernah diludah oleh rakan-rakannya.
Akibatnya, selepas kembali dari hospital mangsa kerap bercakap sendiri.
“Esok ibu bapa mangsa akan ke hospital untuk mendapatkan laporan kesihatan bagi mengesahkan mangsa OKU untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.
Ibu mangsa, Mogana Selvi, 35, yang turut serta dalam sidang media hari ini berkata, luluh hatinya melihat keadaan anaknya sekarang.
“Anak saya yang dahulunya ceria dan aktif kini pendiam dan sering bersembunyi di dalam bilik dan tidak lagi bermain dengan abang-abangnya.
“Sebagai seorang ibu, saya harap kejadian ini tidak akan terjadi kepada anak orang lain,” ujarnya.
Menurut Dayalan, murid itu tidak lagi boleh bersekolah di sekolah harian biasa dan perlu dimasukkan ke Sekolah Berkeperluan Khas.
“Mangsa yang dipercayai masalah saraf akan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan esok sebelum dikategorikan sebagai OKU.
“Murid itu juga kini tidak hadir ke sekolah kerana masih dalam cuti sakit dan sedang dalam rawatan.
“Tujuan kami membuat sidang media adalah untuk mendapatkan keadilan dan meminta pihak yang sepatutnya telus serta bertanggungjawab dalam mengendalikan kes ini yang boleh disifatkan sebagai suatu bentuk penderaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette