IPOH – Seramai 2,396 usahawan e-Dagang di Perak telah menerima bimbingan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melibatkan 269,005 penyertaan oleh komuniti dalam pelbagai latihan setakat suku pertama tahun ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, para usahawan e-Dagang NADI di Perak juga berjaya mencatatkan kadar peningkatan jualan 70 peratus berbanding sebelum memanfaatkan platform e-Dagang.
“Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula dengan nama NADI mulai 1 Mac lalu.
“Fungsi NADI kini diperkukuhkan lagi sebagai pusat menyebarluaskan maklumat yang terkini dan tepat terutamanya bagi inisiatif kerajaan dan manfaatnya kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (PH-Manong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Azlan (PH-Tualang Sekah) memberitahu, NADI sedang dalam perancangan untuk menyediakan program-program yang berorientasikan Pengkomputeran Awan agar boleh diakses oleh pengguna tanpa perlu hadir ke NADI dan menggunakan sepenuhnya akses secara talian.
“Walaubagaimanapun, komuniti amat digalakkan untuk menggunakan fasiliti yang telah disediakan di NADI terutama komuniti-komuniti yang tidak atau kurang mendapat liputan dan perkhidmatan.
“Pada masa yang sama, petugas NADI boleh membantu terutamanya berkaitan dengan inisiatif dan bantuan dari kerajaan,” katanya lagi.
Menurut Mohd Zalan, bagi memastikan program keusahawanan lebih dinamik dan mampan, NADI telah merombak semula program keusahawanan sedia ada.
Jelas beliau, antara program pengukuhan untuk usahawan yang sedia ada seperti pengurusan kewangan, tadbir urus perniagaan, penggunaan teknologi dalam ekosistem perniagaan, teknologi pembungkusan dan sebagainya.
Tambah beliau, ia termasuk menyasarkan program penerapan minat keusahawanan untuk golongan muda dan pelajar yang akan dikelolakan oleh golongan profesional. – MG Perak
Artikel Berkaitan: